PENAJA kepada pemain badminton perseorangan negara, Lee Zi Jia iaitu Victor Malaysia tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dengan mengakui kesilapan mereka. Ia susulan insiden pemain di tangga kelapan dunia tersebut memakai baju dengan logo Jalur Gemilang terbalik ketika pertandingan pertama Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 yang berlangsung malam Rabu. Victor Malaysia memuat naik kenyataan tersebut di laman X. “Kami seikhlas hati memohon maaf kepada semua peminat badminton Malaysia dan Lee Zii Jia atas kesilapan pada jersinya semasa BWF harini (Rabu). “Kesilapan ini tidak menggambarkan rasa hormat kami yang mendalam terhadap Malaysia, simbol kebangsaannya atau kebanggaan dan kehormatan mewakili negara di persada antarabangsa. "Bendera Malaysia melambangkan perpaduan dan identiti. Justeru kami amat kesal dengan sebarang rasa tidak hormat yang tidak disengajakan disebabkan oleh kesilapan ini,” tulisnya. Tambah mereka, pihaknya juga sedang meneliti secara menyeluruh bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi pada masa akan datang. Pada Rabu, logo Jalur Gemilang yang ditampal secara terbalik di kiri baju dipakai Zii Jia dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen jelas kelihatan jelas di televisyen dan mencetuskan kekecohan di media sosial. Pada perlawanan pertama kumpulan A itu, Zii Jia berjaya menewaskan Tien Chen 21-13, 21-15. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube