KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia sudah memulakan siasatan terhadap kes seorang bayi yang jasadnya didakwa disimpan selama dua minggu di dalam peti sejuk beku sebuah hospital swasta di Klang. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meminta orang ramai agar bertenang sementara KKM dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) menjalankan siasatan. "Saya secara jujur mahukan semua pihak bertenang dan mengizinkan untuk pihak-pihak berwajib yang menjalankan siasatan termasuk CKAPS pun turun sama (jalankan siasatan). "Jadi saya akan menanti dengan sabar untuk mendapatkan dapatan penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menjalankan siasatan termasuk pihak kami, CKAPS yang telah turun mendekati beberapa pihak terbabit. "Saya harap semua dalam kalangan kita untuk bersikap penuh ihsan, belas kasihan dan menjaga empati kita," ujar Dr Dzulkefly. Dia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Dewan Rakyat pada Rabu. Kes itu meraih perhatian rakyat Malaysia selepas ia didedahkan oleh Wan Cai di laman sosial. Dalam sidang media itu, Dr Dzulkefly turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga bayi itu dan menggesa orang ramai tidak membuat sebarang andaian mengenai kes itu. "Bukan perkara mudah kerana ada dakwaan di sana sini. Jadi saya percaya kita semua boleh bersabar untuk mendapatkan fakta yang sebenarnya sebelum membuat apa-apa andaian yang akan kita kesal kemudian," katanya lagi. Terdahulu, mStar melaporkan jenazah seorang bayi lelaki terpaksa disimpan di dalam peti sejuk beku selama dua minggu gara-gara ibu bapanya tidak mampu membayar kos kelahiran di sebuah hospital swasta. ARTIKEL BERKAITAN: Hospital Bersalin Razif dedah kisah sebenar bayi ‘beku’, dakwa ibu lahirkan anak luar nikah... Dibenar urus jenazah sebelum bayar bil Perkara itu tular selepas ia didedahkan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Wan Cai di laman sosial. Pada Rabu, pihak pengurusan Hospital Bersalin Razif (HBR) turut tampil membuat penjelasan berhubung kes kontroversi itu. Menurut HBR, mereka mengeluarkan permit pengebumian bagi membolehkan jenayah bayi berkenaan disemadikan sehari selepas dia dilahirkan. Dakwa HBR lagi, mereka juga memaklumkan kepada si ibu yang urusan pengebumian bayi itu boleh dibuat terlebih dahulu tanpa melunaskan bil hospital. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube