ISTANA Pahang menafikan sebarang Istiadat Perkahwinan Diraja melibatkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Faridah Duad pada April tahun depan. Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya (TUDM) berkata, hantaran palsu itu dimuat naik seorang wanita di akaun Instagram dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_1). "Menurut hantaran di story Instagram berkenaan, wanita tersebut mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada April tahun depan dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya. "Istana Pahang telah beberapa kali mengesan hantaran fitnah yang dimuat naik individu sama, " demikian menurut kenyataan. Kenyataan Istana Pahang Mohamed Zahari menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuat naik selain daripada portal rasmi Istana Pahang iaitu istanapahang.my dan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube menggunakan nama Kesultanan Pahang. Katanya, tindakan tegas boleh diambil kepada individu tersebut atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran berbaur fitnah atau mengganggu-gugat keharmonian khususnya Istana Pahang. Sementara itu, semakan mStar di Instagram menunjukkan wanita terbabit mendakwa tarikh perkahwinannya adalah pada 20 April 2025 dan akan berlangsung di Ipoh, Perak. Dakwaan Faridah di Instagram Story. Dia juga mendakwa, tetamu yang hadir akan menerima doorgift iPhone, selain majlis itu akan diserikan dengan konsert khas pemuzik antarabangsa dari Belanda, DJ Tiesto. Instagram wanita itu juga memaparkan beberapa gambarnya bersama kerabat Diraja Pahang termasuk bersama Tengku Hassanal. Oktober lalu, Istana Pahang mengeluarkan satu kenyataan menafikan khabar angin berkenaan istiadat Perkahwinan Diraja yang membabitkan Tengku Mahkota Pahang dengan seorang wanita seperti yang tular di media sosial. Dakwaan itu mula tersebar selepas satu hantaran dimuat naik di Instagram oleh pengguna yang menggunakan nama akaun "Farida.1111111" pada September. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube