suria

Misteri bagasi berulat, dihurung lalat terungkai... Mayat berbau busuk disahkan lelaki

Tangkap layar menunjukkan bagasi berisi mayat sudah dihurung lalat.

POLIS mengesahkan mayat yang ditemukan dalam sebuah bagasi berbau busuk di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan di Cheras Perdana dekat Kajang adalah seorang lelaki berusia lingkungan 30an hingga 40an.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 11.45 pagi Selasa berhubung penemuan sebuah bagasi berbau busuk.

"Bertindak atas maklumat, pasukan polis ke lokasi kejadian bersama pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) mengesahkan satu bagasi berwarna biru yang dijumpai di lokasi kejadian, mengandungi mayat lelaki tanpa pengenalan diri.

"Mayat kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijangka dijalankan pukul 9 pagi esok (Rabu)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes berkenaan boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mengenai penemuan sebuah bagasi berisi mayat yang dihurung lalat.

Difahamkan, bagasi berwarna biru berkenaan ditemukan dalam keadaan berkunci dan diikat menggunakan tali merah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain