suria

Mayat reput ditemukan di Rawang Bypass... Mangsa masih bertopi keledar

Lokasi penemuan mayat yang sudah mereput di Rawang Bypass.

SATU mayat yang sudah mereput ditemukan di laluan susur keluar jejambat Rawang Bypass pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima maklumat awal mengenai penemuan mayat itu pada pukul 10.09 pagi, hari sama.

Menurutnya, 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dihantar ke lokasi untuk menguruskan mayat itu.

"Jentera bomba tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 10.16 pagi dan pasukan petugas memulakan tugas mengangkat mayat.

"Mayat yang reput itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Abang Kaderi Abang Wasli berkata mayat merupakan lelaki tempatan berusia 48 tahun dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Tambahnya, mayat ditemukan dalam keadaan terbaring, lengkap berpakaian serta memakai topi keledar.

"Pihak polis juga menemukan barangan peribadi milik si mati seperti dompet yang mengandungi kad pengenalan diri dan jam tangan.

"Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat akan dijalankan pada Selasa," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain