SEORANG pesara berputih mata apabila mengalami kerugian hampir RM1 juta selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan. Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa yang merupakan lelaki berusia 65 tahun membuat laporan polis pada Ahad selepas kerugian berjumlah RM873,000 akibat ditipu oleh pelaburan tidak wujud. "Mangsa ditipu sindiket yang menawarkan pelaburan tidak wujud. "Dia dijanjikan dengan keuntungan sebanyak 10 peratus hingga 30 peratus dalam tempoh tiga hari. "Penipu juga mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi telefon bimbit milik mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin. Beliau menambah, mangsa telah membuat 19 kali transaksi pembayaran berjumlah RM837,000 ke tujuh akaun bank tempatan antara 18 Oktober hingga 27 November, "Selepas bayaran dibuat, mangsa menyemak akaun dalam aplikasi miliknya dan mendapati keuntungan yang dipaparkan adalah RM2.35 juta. "Bagaimanapun, apabila mangsa ingin membuat pengeluaran wang daripada akaun tersebut, dia mendapati ia telah disekat dan mengesyaki dirinya telah ditipu," katanya. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 kerana tipu pelaburan tidak wujud. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube