suria

Pukul bekas isteri hamil hingga koma, peniaga dipenjara 10 tahun

Rosmaini (tengah) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah Nordin sehingga koma.

SEORANG peniaga dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin 46, sehingga koma, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Fatimah Zahari, bermula tarikh sabitan pada Isnin, selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.

Mahkamah turut menolak permohonan oleh Rosmaini Abd Raof, 41, untuk menangguhkan hukumannya.

Pada 17 Januari lalu, mahkamah sama memerintahkan Rosmaini membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah yang ketika itu sedang hamil, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

ARTIKEL BERKAITAN: Adik tak sangka kandungan kakak koma enam bulan masih bertahan, doktor siap sedia bedah keluarkan bayi

ARTIKEL BERKAITAN: Anak nak ajak main, tapi ibu terlantar kaku... Netizen sebak tengok rakaman terkini Jahidah Nordin mangsa keganasan suami

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin di Johor Bahru, kira-kira pukul 6 pagi pada 4 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu, manakala tertuduh diwakili Kamal Hisham Ja’afar, Mohd Salleh dan Aina Kamilah Zalizan.

Peguam pemerhati yang mewakili keluarga Jahidah, Syufri A Samad dan Muhammad Hazeem Mohd Norizan serta adik kepada Jahidah, Fauziah Nordin, turut hadir mengikuti prosiding berkenaan. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain