suria

Didakwa berkhalwat... Bapa, anak berasingan dihadap ke mahkamah

Bapa dan anak perempuan didakwa melakukan khalwat dalam kes secara berasingan. -Gambar hiasan

DUA beranak dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Terengganu atas tuduhan pertuduhan khalwat bersama pasangan masing-masing.

Kedua-dua bapa dan anak perempuan itu dituduh dalam kes secara berasingan pada Isnin.

Memetik Sinar Harian, tertuduh, Mat Husin Sulaiman, 53, yang merupakan tukang urut dan Aslina Razali, 37, didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud di Kuala Terengganu pada pukul 5.25 petang, 19 Mei lalu.

Masing-masing didenda RM4,500 selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu, Nurul Taqwa Hasbu manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, anak kepada Mat Husin iaitu Nurul Hadhari Mat Husin, 20, bersama pasangannya, Che Mohammad Aidil Hakim Rozali, 20, pula didakwa atas kesalahan khalwat.

Kedua-dua mereka merupakan pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT) swasta dan telah mendirikan rumah tangga pada Julai lalu terlepas hukuman sebat atas kesalahan khalwat berulang.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di sebuah apartment di Kuala Terengganu, kira-kira pukul 4.15 pagi pada 18 Mac lalu.

Hakim Hamidi Syafie menjatuhi denda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda manakala pasangannya pula didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain