'PELAJARAN biologi' adalah istilah yang digunakan oleh pakar psikiatri kanak-kanak dari Malaysia yang melakukan penderaan seksual terhadap seorang remaja perempuan di Ireland. Penderaan itu yang dilakukan oleh Amirul Arif Mohd Yunos, 38, terhadap remaja berkenaan bermula ketika mangsa berusia 14 tahun dengan pakar itu menyatakan ia adalah 'pelajaran biologi' sebelum merogol mangsa. Malah, pakar yang dipercayai adik individu ternama di Malaysia itu turut menghantar bahan pornografi ganas kepada mangsa sebagai 'alat kajian' untuk sesi mereka berdua pada masa akan datang. "Dia (Amirul) memberitahu mangsa bahawa tubuhnya adalah 'bayaran' untuk perkhidmatan terapi yang diberikan. Dia juga mengakui melihat gadis sunti jatuh ke tangannya adalah satu nikmat kerana ia memberi rasa dominasi dan kuasa kepada dirinya. "Lelaki itu mengancam gadis itu dengan berkata, jika dia mendedahkan kejadian tersebut, tiada siapa yang akan percaya kerana status dirinya dalam masyarakat. "Dia bertanya kepada mangsa sama ada ia rogol, dan akan berkata, 'tidak, rogol adalah ganas'. Tetapi, jika ia bersifat ganas, ia adalah rogol. Adakalanya mangsa dibiarkan dalam keadaaan berdarah," kata ibu mangsa memetik laporan Irish Independent. Mangsa mengalami tekanan hingga cuba membunuh diri sebanyak tiga kali. -Gambar hiasan Berikutan tekanan penyiasatan dan kes mahkamah terhadap pakar psikiatri, ibu mangsa berkata anaknya cuba membunuh diri sebanyak tiga kali dan dia perlu menghadiri prosiding mahkamah bagi pihak anak perempuannya ketika hukuman dijatuhkan terhadap Amirul Arif. Semasa sesi mahkamah minggu lalu, testimoni daripada ahli keluarga Amirul Arif, kedua-duanya dari Malaysia dan Ireland telah didengari. “Dia daripada keluarga berpengaruh di Malaysia. Kami berasa jijik dengan keluarganya dan orang lain yang menulis testimoni tentang watak baik untuk dirinya. "Sungguh menakutkan apabila memikirkan bagaimana begitu banyak toleransi boleh diberikan kepada rakyat mereka yang melakukan jenayah sadis seperti itu terhadap kanak-kanak," tambah ibu mangsa. ARTIKEL BERKAITAN: Doktor rakyat Malaysia, dipercayai adik individu ternama dihukum penjara... Dera remaja secara seksual di Dublin mStar pada Rabu melaporkan seorang pakar psikiatri kanak-kanak dari Malaysia yang melakukan pengantunan dan penderaan seksual terhadap seorang remaja perempuan di Ireland didapati bersalah dan dipenjarakan selama lapan tahun, enam bulan. Amirul Arif Mohd Yunos, 38, beralamat di Hollystown, Dublin 15, bekerja di pusat Perkhidmatan Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja (CAMHS) di Clonskeagh, Dublin pada masa kesalahan itu dilakukan tahun lepas, menurut mahkamah yang bersidang di ibu negara Ireland itu. Menurut laporan, mangsa bukan pesakitnya secara rasmi, tetapi Amirul Arif dikenali oleh ibu bapa mangsa yang meminta dia terlibat dengan anak perempuan mereka yang mengalami masalah kesihatan mental. Amirul Arif mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan perbuatan seksual terhadap kanak-kanak bawah 17 tahun, satu pertuduhan eksploitasi seksual kanak-kanak dan satu pertuduhan bertemu kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi seksual. - Irish Independent Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube