PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan setiap peminjam wajib melunaskan bayaran balik pinjaman dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk melupuskan hutang tersebut. Menerusi satu hantaran di Facebook, Asyraf Wajdi berkata beliau hanya menjaga amanah wang rakyat di bawah Mara dan keputusan untuk melupuskan hutang bukan berada dalam bidang kuasanya. Beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab membayar hutang adalah kewajipan yang tidak boleh diabaikan. “Hutang tetap hutang. Jangan merayu kepada saya kerana itu bukan hak saya untuk melupuskannya (hutang). "Saya menjaga amanah wang rakyat di bawah Mara dan akan dipersoalkan Allah kelak,” tegasnya dalam hantaran pada Selasa. Peringatan tegas itu dibuat beberapa jam selepas pegawai Mara menyerbu rumah pelakon terkenal, Rozita Che Wan, 51, di Kota Damansara, Petaling Jaya. Serbuan itu susulan kegagalannya membayar pinjaman berjumlah RM1 juta. Mengulas lanjut tentang tindakan pihaknya, Asyraf Wajdi berkata Mara tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau mengamalkan sikap pilih kasih. Tambah Asyraf Wajdi, pihak Mara sentiasa terikat dengan prosedur dan proses ketat mengikut lunas undang-undang. Peminjam yang menghadapi masalah digalakkan untuk hadir berunding dengan pihak Mara mengenai penjadualan semula atau penstrukturan hutang mereka. "Malah sebelum apa jua tindakan perundangan dilakukan, nilai ‘ihsan’ juga diutamakan dengan memberi ruang kepada peminjam yang bermasalah untuk datang ke Mara berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang mereka. "Namun jika semua usaha ini masih culas, sengaja tidak mahu membayar (procrastination) walaupun berkemampuan bahkan boleh pula memperagakan kemewahan di media sosial, Mara tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan," katanya lagi. Tegasnya, tindakan undang-undang adalah langkah terakhir untuk memastikan setiap sen wang rakyat dikutip semula dan dapat dimanfaatkan oleh orang lain yang memerlukan bantuan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube