SEORANG lelaki berusia 31 tahun yang dikehendaki maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Jalan Jeram Pasu, Kelantan sekitar pukul 5.30 pagi, Jumaat. Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek yang merupakan penarik kereta itu mempunyai 24 rekod jenayah lampau, termasuk 17 kes berkaitan jenayah dan tujuh kes narkotik. Menurut Yusoff, kejadian bermula ketika polis sedang menjalankan operasi cegah jenayah di kawasan Melor. Suspek yang memandu sebuah Perodua Bezza bertindak memecut kenderaannya selepas menyedari kehadiran polis. “Sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek bertindak agresif dengan keluar dari kereta dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis. "Lelaki itu terkena tembakan polis yang terpaksa mempertahankan diri. Pemeriksaan dilakukan, suspek mati di tempat kejadian," katanya, memetik Sinar Harian. Pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan sepucuk pistol separa automatik, sepucuk pistol tiruan, dan sebilah parang. Selain itu, polis turut menjumpai satu bungkus tembakau berbentuk ketulan yang dipercayai cuba diseludup ke dalam penjara. “Polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang terlibat dalam kes ini,” tambahnya. Susulan itu, mayat suspek dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk tindakan lanjut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube