suria

‘Perisik’ Israel mengaku tidak bersalah, tiba di mahkamah dengan kawalan ketat

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon agar dibicarakan.

LELAKI warga Israel, Avitan Shalom mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki enam senjata api dan 158 butir peluru.

Dia yang turut memiliki pasport kewarganegaraan Perancis itu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas kesalahan yang dibuat pada Mac lalu.

"Saya faham tuduhan, tidak bersalah," ujarnya yang turut minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu, kerana memiliki enam senjata api dan 200 peluru.

Shalom berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar lelaki warga Israel ditahan bersama 6 senjata api, polis pertingkat keselamatan

Hakim Tasmin Abu Bakar tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Mei ini.

Terdahulu, video memaparkan Shalom yang dikawal ketat ketika tiba ke mahkamah pada pagi Isnin meraih perhatian netizen di media sosial.

Petugas media berkumpul di perkarangan mahkamah sejak 6.45 pagi sebelum Shalom yang diiringi polis tiba kira-kira 8.09 pagi.

Tertuduh dibawa dengan sebuah trak polis berperisai, diiringi oleh enam kenderaan polis yang lain.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain