suria

Anggota polis ditahan kes remaja maut kemalangan

Tangkap layar video kejadian yang tular di media sosial.

SEORANG anggota polis trafik berpangkat koperal ditahan susulan kematian seorang remaja penunggang motosikal ketika operasi membanteras lumba haram.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah mengesahkan anggota polis berusia 37 tahun itu ditahan pada 9 pagi Jumaat selepas dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

"Kita menerima enam laporan berhubung kejadian itu dan merakamkan keterangan daripada tiga saksi," katanya sambil menambah anggota polis itu didapati negatif dadah.

Zainol berkata, anggota polis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu hingga menyebabkan kematian, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda hingga RM50,000.

Tambah beliau, pihaknya akan memutuskan sama ada anggota polis itu akan direman selepas siasatan lanjut.

Zainol berkata anggota polis itu sedang dalam tugas di balai polis Durian Tunggal pada hari pertama Aidilfitri apabila menerima aduan orang awam mengenai bunyi bising yang berpunca daripada aktiviti lumba haram.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Syawal... Pelajar maut rempuh belakang treler parkir di bahu jalan

Anggota polis itu kemudian memandu sendiri ke tempat kejadian dengan kenderaan pacuan empat roda polis sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa.

Akibat kejadian pada awal pagi 10 April lalu, mangsa Mohammad Khairul Basahri mengalami kecederaan dalaman selain patah kaki dan paha dalam kejadian awal pagi Rabu lalu.

Remaja berusia 18 tahun itu bagaimanapun meninggal dunia pada pagi Khamis ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Video berdurasi 40 saat tular di media sosial menunjukkan perlanggaran antara kenderaan polis dan motosikal remaja itu.

Polis Melaka berkata, kenderaan polis menyalakan lampu mata arah dan siren untuk memberitahu kehadiran polis menyebabkan sekumpulan penunggang motosikal bertempiaran melarikan diri dari pelbagai arah.

Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan dikatakan bertembung dengan kenderaan polis yang membelok ke kanan di satu simpang. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain