suria

Polis tahan wanita dipercayai suspek bunuh suami, terdapat kesan cekik pada leher

Suspek pembunuhan akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Gambar hiasan

SEORANG wanita ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat suaminya dipercayai dibunuh di sebuah rumah kosong di Tanjung Rambutan di Ipoh, Perak pada Selasa.

Ia susulan bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat kesan lebam dan cekik pada leher mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahamad berkata, penemuan mayat lelaki berusia 25 tahun itu diterima daripada orang awam sekitar pukul 10 pagi.

Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai dalam sebuah bilik di rumah yang belum siap dibina tersebut.

"Kes ini pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada tanda-tanda unsur jenayah pada tubuh mangsa dan lokasi kejadian.

"Bagaimanapun hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul.

"Pemeriksaan juga menemui kesan lebam baharu pada keseluruhan anggota badan mangsa selain kesan cekik pada leher," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasi semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, polis akan memanggil saksi-saksi terlibat untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 atau hadir ke mana-mana balai berhampiran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain