suria

Lelaki maut dibunuh, didakwa ganggu isteri orang di Teluk Intan

Kes bunuh disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

TUJUH individu ditahan berhubung kes bunuh selepas seorang lelaki yang cedera di leher dan dada dihantar ke Hospital Teluk Intan di Perak oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek enam lelaki dan seorang wanita ditahan di lokasi berbeza di sekitar Teluk Intan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Jelas beliau, hasil soal siatan yang dijalankan, suspek berusia antara 25 dan 45 tahun itu mengaku berada di kawasan perumahan di Langkap di mana pergaduhan berlaku.

“Mereka berkata pergaduhan itu berpunca daripada cemburu, kerana mangsa dipercayai mengganggu isteri seorang suspek.

“Kami masih mencari seorang lagi suspek untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahmad Adnan berkata polis menerima panggilan daripada doktor di hospital itu kira-kira pukul 8.15 malam Jumaat memaklumkan mangsa dibawa masuk dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan akibat terkena objek tajam.

“Apabila polis tiba, mereka memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di zon merah hospital dan mendapati seorang pemandu menghantar mangsa ke hospital sebelum beredar.

“Berdasarkan maklumat orang ramai, kami kemudian membuat tangkapan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kesemua mereka direman sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut.

Ahmad Adnan berkata, polis sedang mencari seorang individu bernama D Tanabalan, 42, yang beralamat terakhir di 6 Ladang Degong Ratanui, Langkap, untuk membantu siasatan.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supt Shahrul Shamsudin di talian 05-623 3969 atau 017-975 2668,” katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain