suria

Ibu 2 anak maut selepas ambil suntikan besarkan payudara! ‘Pakar kecantikan’ sempat minta rahsiakan daripada doktor, takut ditangkap

Seorang wanita maut selepas empat hari menjalani suntikan membesarkan payudara. -Gambar FB

HASRAT untuk membesarkan payudara bertukar tragedi apabila seorang wanita berusia 29 tahun maut selepas empat hari menerima suntikan bagi prosedur tersebut.

Mangsa yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu selepas melakukan rawatan tersebut yang difahamkan dilakukan oleh pakar kecantikan tidak bertauliah di sebuah rumah di Skudai, Johor.

Memetik laporan akhbar berbahasa Cina tempatan, suami mangsa berusia 35 tahun berkata, isterinya dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada suntikan pembesaran payudara asid hyaluronik.

Dia mendakwa pada mulanya mangsa yang merupakan ibu kepada dua anak itu hanya merancang untuk menjalani suntikan 'menarik benang' muka mikro untuk menjadikan kulitnya lebih tegang.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya bertahan 6 jam, wanita maut selepas jalani pembedahan besarkan payudara... keluarga tuntut pampasan RM1.29 juta

ARTIKEL BERKAITAN: Teringin payudara kencang dan montok! Dua sahabat nyaris maut terkena sawan, suami bocor rahsia isteri suntik ‘breast filler’ di rumah

Bagaimanapun, 'pakar kecantikan' itu didakwa memujuk mangsa untuk menjalani pembedahan membesarkan payudara.

Menurut si suami, isterinya mengalami sakit dada selepas melakukan pembedahan tersebut.

"Keesokannya (30 Julai), isteri saya masih tidak sihat. Ditemani seorang rakan, dia (isteri) pergi ke klinik berhampiran untuk konsultasi pada waktu tengah hari.

"Selepas berunding, doktor membuat kesimpulan bahawa ia disebabkan oleh ubat bius yang berlebihan. Sekitar jam 7 malam, keadaannya tidak pulih. Lukanya masih sakit dan tidak selesa.

"Isteri segera ke hospital swasta berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Isteri dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) pada pagi 2 Ogos selepas melaporkan bahawa dia tidak boleh berjalan dan meninggal dunia pada 7 pagi (hari sama)," katanya.

Selepas mengalami sakit dada, suami mangsa berkata, kakitangan pusat kecantikan itu dilaporkan enggan menerima bayaran ketika isterinya mahu membuat bayaran.

Upacara pengebumian dan pembakaran mayat dilakukan di Wisma Tiong Hua, di Johor Bahru, pada Ahad.

Sementara itu, dalam satu perkongsian di media sosial, terdapat satu tangkap layar mesej aplikasi WhatsApp yang didakwa menunjukkan perbualan mangsa mengadu kepada 'pakar kecantikan' itu mengenai sakit dadanya.

Tangkap layar mesej didakwa perbualan mangsa dan 'pakar kecantikan'. -Gambar sumber China Press

Bimbang dengan keadaan yang berlaku, 'pakar kecantikan' itu didakwa memberi peringatan kepada mangsa.

"I minta tolong you jangan cakap apa-apa dengan doktor. Nanti report, I kena tangkap. I cuma tolong you saja," tulisnya.

Bagaimanapun, beberapa mesej lain daripada 'pakar kecantikan' itu telah dipadamkan.

Difahamkan, suami mangsa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap 'pakar kecantikan' yang tidak bertauliah itu.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak polis berhubung kejadian itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain