suria

Budak sedang main skuter maut dirempuh trak di taman perumahan

Seorang kanak-kanak maut selepas dilanggar trak pikap di sebuah kawasan perumahan.

TULAR video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang kanak-kanak sedang bermain skuter di kawasan perumahan sebelum dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Dalam klip video tersebut, sebuah trak pikap hitam dilihat dipandu laju memasuki lorong di kawasan perumahan itu di mana mangsa sedang bermain skuter.

Akibat perlanggaran itu yang berlaku di taman perumahan, Eco Spring, Johor Bahru, Johor, mangsa terperosok di bawah kereta.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kes tersebut berlaku pada pukul 6.30 petang Jumaat.

Memetik laporan The Star, kanak-kanak yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut berusia tiga tahun manakala pemandu kenderaan terbabit difahamkan berumur 32 tahun.

"Tiada kenyataan media akan dikeluarkan untuk menghormati keluarga mangsa," kata Raub.

Dalam pada itu, difahamkan, pemandu trak adalah orang luar dan bukan residen taman perumahan berkenaan.

Dalam video dimuat naik pelayar di Facebook, netizen mendakwa pemandu berkenaan ialah kontraktor yang dipercayai melakukan kerja-kerja pembinaan dan ubah suai di taman perumahan itu.

Bagaimanapun, video tersebut telah dipadam bagi menghormati permintaan keluarga yang baru sahaja kehilangan anak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain