suria

Tekaan doktor tepat, dirinya dikecam selepas luah rasa bimbang tengok kandungan gula air viral - “Orang ingat saya kutuk bisnes Melayu”

Doktor meluahkan rasa bimbang terhadap minuman viral tinggi kandungan gula.

SEORANG doktor yang sering berdepan dengan pesakit kencing manis (diabetes) terpanggil untuk meluahkan rasa kurang senangnya dengan minuman yang kini tular di media sosial.

Doktor itu berkata, ketika melihat video cara minuman itu dibancuh di Facebook, dia pada mulanya beranggapan si peniaga hanya bergurau apabila memasukkan bahan-bahannya.

Namun menerusi hantaran yang dibuat di Facebook Khairy Malik, doktor itu berkata dia tidak menyangka bahawa air yang dicampurkan dengan dua bahan tinggi kandungan gula itu sememangnya dijual kepada orang ramai.

"Saya tak tahu macam mana nak susun ayat. Nanti orang ingat saya nak condemn (kutuk) bisnes orang Melayu. Ada lalu video orang jual minuman di Facebook ni.

Tangkap layar menunjukkan peniaga menuang susu pekat manis dan air bikarbonat ke dalam plastik.

"Asalnya, dia campur air tin atau air gas berkarbonat dengan susu sejat. Saya tengok boleh tahan banyak sukatannya. Aku ingatkan tu video parodi atau video meme kelakar. Rupanya itu menu sungguh yang memang dijual dan wujud," katanya dalam hantaran yang tular.

Dalam hantaran dibuat, doktor ini turut memuat naik satu tangkap layar daripada video tular tersebut.

Rakaman menunjukkan seorang lelaki menuang susu sejat dalam kuantiti agak banyak serta satu tin air bikarbonat ke dalam plastik sebelum digoncang.

Menurut Khairy yang merupakan seorang pengamal perubatan yang bertugas di unit kecemasan setiap hari, hantaran dibuat bertujuan untuk memberi peringatan kepada orang ramai.

Menerusi pemerhatian peribadinya sendiri di hospital, pesakit kencing manis yang berada di unit kecemasan kini terdiri daripada golongan muda selain orang muda.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir 4 juta penduduk Malaysia hidap diabetes... tiba masanya ubah gaya hidup, 3 cara ini paling mudah!

ARTIKEL BERKAITAN: Berkias tegur jual air terlebih manis dalam akuarium, Dr Rafidah kena sindir lagi... Netizen kait subjek biologi - “Doktor, ikan tiada kaki”

"Saya nak tegur ni rasa tak layak sebab saya bukan dietitian atau nutritionist ke apa.

"Dulu waktu mula-mula jadi doktor, saya cuma nampak orang atas 50 tahun yang ada diabetes ni.

"Tapi semenjak dua hingga tiga tahun ni, jumpa orang yang 30 hingga 40 tahun sudah ada diabetes dengan komplikasinya sekali. Lekangan retina, kegagalan buah pinggang dan polineuropati (gangguan pada banyak saraf)," jelasnya lagi.

Mengakui dirinya juga tidak mengamalkan sepenuhnya gaya hidup sihat dengan makan makanan berkhasiat, Dr Khairy memberi peringatan kepada semua termasuk dirinya sendiri.

"Saya tahu pemakanan sendiri pun tak bagus juga. Kejap makan M******ds lepas tu air S***b**ks selalu.

"Tapi jom la kita sama-sama beringat termasuk saya bahawa diabetes itu penyakit yang sangat bahaya dan susah nak dikawal.

"Ni kena dekat batang hidung sendiri juga sebab selalu minum minuman jenama barat lain," katanya lagi.

Komen netizen di Facebook.

Dalam pada itu, tegasnya dalam hantaran sama, dia tidak menghalang mana-mana individu untuk terus membeli air tersebut kerana ia merupakan pilihan diri sendiri.

"Kadang kita rasa benda tu tak manis, rapi kandungan gula kat dalam tu mashaAllah tinggi betul.

"Betul, kalau tak nak beli tak payahla beli. Tapi tak payahlah nak hasut orang supaya jangan beli. Eh tidak... saya tak hasut. Nak beli, belilah.

"Macam rokok juga, risiko sendiri. Ni peringatan saja. Nanti orang kecam cakap saya yang asyik minum minuman jenama barat, lepas tu minuman tempatan saya sibuk nak komen," katanya lagi.

Setelah hantaran tersebut tular, doktor tersebut membalas komen apabila menyedari bahawa ramai yang mengecam luahan dan pendapatnya di ruangan komen.

"Saya dah agak ramai kecam. Ramai yang komen ala minuman ni dari dulu dah ada.

"Ada yang suruh nasihat jenama lain dulu. Tak kiralah jenama apa pun kalau tak sihat semua tak okay.

"Apa-apa pun pilihan di tangan anda. Jangan nak triggered lebih-lebih sangat," tulisnya di ruangan komen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain