suria

Naik angin GF mahu putuskan hubungan... Lelaki pecahkan cermin kereta, tikam kekasih

Seorang wanita mengalami kecederaan selepas ditikam teman lelakinya. -Gambar hiasan

GARA-gara mahu memutuskan hubungan cinta, seorang wanita ditikam teman lelakinya dalam kejadian di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek turut merosakkan tayar dan memecahkan cermin hadapan kereta milik mangsa berusia 45 tahun, dalam kejadian di tempat letak kereta kondominium itu pada pukul 2.52 pagi Ahad.

“Mangsa kemudian berlari keluar dari kenderaan tetapi teman lelakinya mengejar dan menyerangnya menggunakan objek tajam.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut dan tangan kiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

“Kita percaya suspek melakukan kekerasan kerana mangsa ingin berpisah dengannya.

“Mangsa mengenali suspek tiga bulan lalu menerusi satu aplikasi,” katanya.

Mohd Azam berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek dan usaha mengesan lelaki itu masih dijalankan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain