suria

Cemburu disyaki motif pembunuhan pemandu e-hailing... Bekas isteri didakwa, kes turut libatkan pegawai kanan Esscom

Wanita bernama Nurima Juli didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh bekas suaminya.

SEORANG wanita didakwa membunuh suaminya yang merupakan seorang pemandu e-hailing, pada 13 Januari lalu.

Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas tuduhan membunuh bekas suaminya, Nurman Bakaratu, 62, di ladang kelapa sawit di Batu 5, Jalan Apas antara 7.30 malam dan 9 malam pada 13 Januari.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Nurima yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Mohd Dzul Elmi Yunus pada Isnin (30 Jan).

Mahkamah menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes memandangkan pihak pendakwaan sedang menunggu laporan bedah siasat dan kimia berhubung kes itu.

Kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi sebelum pengakuan direkodkan.

Nurima tidak diwakili peguam manakala pihak pendakwaan diketuai Mohd Syahnidzam Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tapi saya tak buat...” - Suri rumah tikam suami hingga mati menangis di mahkamah

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah memberitahu pemberita pada Selasa (31 Jan) bahawa siasatan masih diteruskan terhadap kes pembunuhan itu dengan wanita itu sudah didakwa di mahkamah.

"Kami meneruskan siasatan dan mengumpul bukti berhubung kes itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis Sabah di ibu pejabat polis negeri Kepayan di sini.

Beliau berkata, siasatan membabitkan penahanan lapan anggota polis termasuk pegawai kanan serta orang awam.

Idris berkata, mereka masih mengukuhkan kes terhadap mereka yang ditahan dengan mengumpul bukti dan akan mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata polis percaya motif sebenar pembunuhan itu adalah cemburu kerana wanita itu adalah isteri kepada mangsa yang dibunuh.

"Ia lebih kepada soal peribadi dan tiada kaitan dengan hal keselamatan,"katanya.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan semua isu terbabit akan menjadi lebih jelas selepas siasatan selesai.

Terdahulu, mayat Nurman yang sudah reput ditemui pada 16 Januari dan ia membawa kepada penahanan bekas isterinya dan seterusnya disusuli dengan penahanan lapan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Anggota polis itu kekal dalam reman sehingga 1 dan 2 Februari.

Pasukan siasatan khas dari Bukit Aman sedang menjalankan siasatan bersabit kes berkenaan. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain