suria

Nurul Izzah jadi penasihat kewangan PM, kerja tanpa gaji

Nurul Izzah sah dilantik menjadi Penasihat Kanan Kewangan dan Ekonomi. Foto: The Star

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengesahkan anaknya, Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Menurut Anwar, beliau mempelawa anaknya itu untuk menjawat jawatan tersebut bagi membantunya di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Walaupun begitu, beliau tidak membayar apa-apa elaun kepada Nurul Izzah untuk jawatan tersebut.

“Memang saya pelawa dia untuk membantu saya sebagai Penasihat di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepada dia.

"Baik di Pejabat Perdana Menteri dan di Kementerian Kewangan,” kata Anwar dalam sidang media ketika Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru, Perak pada Ahad.

Anwar mempertahankan pelantikan Nurul Izzah. AZHAR MAHFOF/The Star

Anwar berkata demikian selepas ditanyakan mengenai ciapan sinis Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau lebih mesra disapa sebagai Peja yang mengucapkan tahniah kepada Nurul Izzah di atas pelantikan tersebut.

Anwar seterusnya menyatakan Ahmad Faizal mempunyai hak untuk mempersoalkan pelantikan Nurul Izzah.

Namun, Perdana Menteri juga mengatakan dia mempunyai beberapa persoalan kepada Ahmad Faizal mengenai 'kecurian' tanah, pembalakan, saham dan komisen.

“Tetapi saya nak bagi tahu yang penting sekali termasuk saudara Peja, hentikan curi tanah dan balak dan saham komisen projek, ini yang menjahanamkan negara.

“Saya belum dengar lagi kenyataan mereka menyokong usaha membersihkan negara daripada gejala ini. Semua bicara soal rasuah, tapi bila kita sebut kes-kes ini, dia kata mengapa nak bongkar kisah lama,” katanya.

Menyentuh perihal Nurul Izzah tidak mempunyai kelulusan dalam bidang kewangan, Anwar berkata beliau sendiri tidak mempunyai kelulusan dalam bidang kewangan tetapi pernah menjadi menteri kewangan selama lapan tahun.

Nurul Izzah juga mempunyai ijazah dalam dasar awam. ZHAFARAN NASIB/The Star

Sebagai makluman, Nurul Izzah memegang ijazah sarjana muda dalam jurusan kejuruteraan.

"Pemimpin dari Perikatan Nasional juga tidak mempunyai kelulusan dalam bidang kewangan ketika mereka memegang tampuk kerajaan.

"Tapi apabila kita (Pakatan Harapan) membuat perkara sama, mereka jadikan itu satu isu.

"Kalau nak membangkitkan suatu isu itu, pastikan ia konsisten, perlu tertakluk juga untuk jawatan lain, Menteri Kesihatan harus seorang doktor, Menteri Alam Sekitar dan Air kena ada kelulusan kejuruteraan tetapi itu tak berlaku.

"Manakala untuk Nurul Izzah, ijazah sarjana mudanya yang pertama adalah dalam jurusan kejuruteraan.

"Tetapi dia juga memiliki ijazah dalam dasar awam dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies,” katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain