suria

Umno pecat KJ, Noh... Hishammuddin digantung

Khairy (kiri) dan Noh (tengah) dipecat daripada Umno, manakala Hishammuddin digantung hak-haknya dalam parti selama enam tahun.

BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dipecat keahliannya dari Umno.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan berkata, keputusan itu ditetapkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, pada Jumaat malam.

Menurutnya, kedua-duanya dipecat parti disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

"Selain itu, turut dipecat ialah lima ahli Umno Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli Umno Bahagian Putrajaya, dua ahli Umno Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli Umno negeri Pahang.

"Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU-15," katanya dalam satu kenyataan. Jumaat malam.

Ahmad Maslan turut memberitahu, ahli Umno yang digantung hak-hak dalam parti selama enam tahun adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Ahli Parlimen Sembrong), Datuk Maulizan Bujang (Ketua Bahagian Tebrau), Datuk Seri Mohd Salim Sharif (Ketua Umno Jempol) dan Shahril Sufian Hamdan (bekas Ketua Penerangan Umno).

Sementara itu, beliau berkata, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor yang baharu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain