suria

Wanita 75 tahun maut, kereta dinaiki terbabas masuk parit

Anggota bomba mengeluarkan mangsa selepas kereta dinaiki terbabas dan masuk ke dalam parit.

SEORANG wanita berusia 75 tahun maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan masuk ke dalam parit di Kilometer 7.9 Jalan Muar-Yong Peng, di Batu Pahat, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.50 petang Rabu ketika pemandu wanita berusia 29 tahun dalam perjalanan dari arah Batu Pahat menghala ke arah Parit Yaani.

"Pemandu merupakan anak kepada mangsa, dalam perjalanan bersama cucu perempuan berusia empat tahun.

"Pemandu tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan kereta terbabas masuk ke dalam parit di bahu kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan.

Ismail berkata, jalan itu merupakan laluan utama antara Batu Pahat dan Parit Yaani, dan keadaan hujan lebat menyebabkan jalan basah dan licin.

"Warga emas berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan anak perempuannya cedera ringan dibawa ke Klinik Kesihatan Yong Peng untuk rawatan,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penguasa Bomba Kanan II Sulaiman Md Lamin berkata, kereta tersebut masuk ke dalam parit sedalam 2 meter.

"Pihak bomba masuk ke parit menggunakan tali dan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan road traffic accident (RTA)," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain