suria

Ingatkan rakan anak, rupanya pencuri! Lelaki pecah masuk rumah warga emas tertidur gara-gara mabuk

Lelaki berkenaan ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan. Gambar hiasan

DISANGKA rakan anak, rupa-rupanya pencuri!

Demikian kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Taman Tanjung, Bahau, Negeri Sembilan, kira-kira pukul 6.15 pagi Isnin.

Memetik laporan Utusan, pemilik kediaman iaitu seorang warga emas, Sin Kong Men, 66, berkata dia menyedari kehadiran seorang lelaki di bahagian tengah rumahnya ketika bangun tidur dan mahu keluar bersarapan di sebuah kedai berhampiran.

Bagaimanapun dia terkejut apabila lelaki yang disangka rakan anaknya. rupa-rupanya pencuri yang sedang mabuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Merompak penuh gaya... Suspek naik Ysuku pecah masuk rumah orang, tapi kantoi wajah dirakam CCTV!

"Saya sangkakan, rakan anak saya, tapi apabila lihat keadaan ruang tamu yang bersepah dan terdapat sebuah beg kertas yang mengandungi dua bilah pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet komputer berada bersama lelaki berkenaan.

"Minuman keras dan tablet komputer itu merupakan barangan di rumah ini, saya syak lelaki ini telah minum minuman keras yang ada di dalam kabinet berkaca sehingga mabuk dan tertidur," ceritanya.

Ujar warga emas itu, ketika kejadian, terdapat lebih 10 orang di dalam rumah tersebut termasuk anak-anaknya yang pulang sempena sambutan Tahun Baru Cina.

"Saya dan anak-anak cuba mengejutkan lelaki ini, namun tidak juga sedar. Tidak lama kemudian polis sampai dan polis juga mengambil masa hampir 30 minit untuk mengejutkan lelaki tersebut," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan, suspek berusia 41 tahun dipercayai telah masuk ke dalam kawasan rumah dengan memanjat pagar tepi rumah dan masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci.

"Suspek telah ditangkap dan mempunyai 21 rekod jenayah lampau di mana 15 daripadanya merupakan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan selebihnya jenayah. Suspek juga merupakan individu dikehendaki bagi kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)," katanya.

Menurutnya lagi, suspek, kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain