suria

Bekas Adun Meru, Dr Abd Rani meninggal dunia

Allahyarham Dr Abd Rani meninggal dunia pada awal pagi Isnin.

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abd Rani Osman, 65, meninggal dunia pagi Isnin.

Allahyarham yang merupakan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor meninggal dunia kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Banting selepas tidak sedarkan diri ketika bercuti bersama keluarganya di Pulau Carey, Kuala Langat.

Allahyarham menjadi Adun Meru selama dua penggal dari 2008 hingga 2018, selain menggalas jawatan Pesuruhjaya Pas Selangor dari 2011 hingga 2013.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat anak dan 11 cucu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Rani Tak Akan Dikenakan Tindakan - PAS

Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian Allahyarham.

"Mendapat perkhabaran berita sedih awal pagi ini, Dr Abd Rani Osman telah kembali ke rahmatullah.

"Beliau merupakan mantan Pesuruhjaya Pas Selangor dan mantan Adun Meru serta aktif bersama Lajnah Kebajikan Pas Kapar dalam menjalankan khidmat kebajikan perubatan kepada penduduk Kapar. Takziah saya ucapkan buat seluruh keluarga Almarhum," tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi catatan di Twitternya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Inalillahwainailaihirajiun. Salam takziah kepada keluarga dan sahabat Allahyarham Dr Abd Rani Osman, mantan Pesuruhjaya Pas Selangor dan mantan Adun Meru di atas pemergian Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan bersama orang beriman," tulisnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain