suria

Rahsia 8 tahun bercerai masih tinggal sebumbung akhirnya terbongkar

Pasangan berusia 48 dan 52 tahun yang bercerai pada 2015 diperiksa anggota penguat kuasa Jaim.

SUDAH bercerai lapan tahun lalu, seorang lelaki masih tinggal sebumbung dengan bekas isteri bersama dua anak.

Tindakannya bagaimanapun terbongkar selepas bekas suami isteri itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di Limbongan, awal pagi Jumaat.

Memetik laporan malaysiagazette, kedua-dua mereka berusia 48 dan 52 tahun.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pemeriksaan pukul 1 pagi itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam daripada Ahli Rakan Setiaku JAIM (Raseim).

"Hasil maklumat diterima, kita memeriksa lokasi terbabit sebelum mendapati lelaki berusia 48 tahun dan bekas isterinya 52 tahun tinggal di rumah itu bersama dua lagi anaknya masing-masing lelaki dan perempuan berusia 14 dan 17 tahun.

"Semakan mendapati, mereka telah bercerai pada 2015 dan mengaku masih terus tinggal bersama walaupun tidak pernah merujuk semula selepas berpisah,” katanya dipetik sebagai berkata.

Pasangan itu, yang merupakan kontraktor dan peniaga makanan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.

Kedua-duanya boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain