suria

“Tapi saya tak buat...” - Suri rumah tikam suami hingga mati menangis di mahkamah

Tertuduh didakwa menikam suaminya hingga mati di rumah mereka di Rasah Kemayan Golf & Country Township, pada 23 Januari. Foto: Sinar Harian

SEORANG wanita berusia 55 tahun yang didakwa menikam suaminya hingga mati di rumah mereka di Rasah Kemayan Golf & Country Township, didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat atas tuduhan membunuh.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Lau Seck Yan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Lau, bekas pensyarah yang pernah bertanding sebagai calon bebas semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 2018, bagaimanapun kedengaran berkata 'Tapi saya tak buat'.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami tuduh isteri curang mati ditikam dengan payung

Ibu kepada empat cahaya mata itu didakwa membunuh Poh Seng Hiap, 55, di rumah mereka di Rasah Kemayan Golf & Country Township antara pukul 3.30 petang hingga 4.30 petang pada 23 Januari.

Poh sebelum ini bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat.

Lau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Ng Kian Nam, yang mewakili Lau, kemudian meminta mahkamah menghantar tertuduh untuk penilaian psikiatri, namun Norzaliza berkata ia tidak perlu pada peringkat ini.

Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan kerana beliau masih belum mendapat laporan bedah siasat, toksikologi dan kimia.

Norzaliza kemudian menetapkan 25 Februari depan untuk sebutan seterusnya. Tertuduh juga dinafikan ikat jamin.

Lau yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dalam keadaan tangannya bergari, dilihat menangis dan memberitahu pemberita mengenai kejadian berkenaan mengikut 'versi' ceritanya.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof dipetik dalam laporan berita sebelum ini sebagai berkata, Poh mempunyai kesan tikaman di dada dan perut.

Tambahnya, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada anak perempuan mangsa berusia 18 tahun.

Dua daripada anak pasangan itu dilaporkan menyaksikan kejadian tersebut.

Nanda berkata siasatan awal menunjukkan motif kejadian adalah berkaitan masalah kewangan.

Tambahnya, polis turut merampas satu objek tajam dari tempat kejadian. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain