suria

Terlajak mulut label seseorang gay atau tuduhan berbaur fitnah lain, boleh saman ke tidak? Ini kata peguam!

Nor Zabetha mengulas isu kontroversi membabitkan Datuk Seri Vida dengan Anuar Zain.

BARU-BARU ini kecoh dengan isu membabitkan usahawan kontroversi, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Vida yang mendakwa penyanyi terkenal, Anuar Zain seorang gay.

Biarpun tidak jelas sebutan perkataan 'gay' kerana usahawan itu seakan-akan berbisik, namun tindakannya menimbulkan kemarahan netizen khususnya peminat pelantun lagu popular Lelaki Ini itu kerana menyifatkannya agak keterlaluan dan biadab.

Bukan sahaja peminat, malah isu berkenaan turut mendapat perhatian seorang peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor yang terpanggil untuk mengupas isu berkenaan dari sudut undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Dengan wajah sedih Vida minta maaf dakwa Anuar Zain ‘gay’

ARTIKEL BERKAITAN: Ziana anggap Vida biadab gelar Anuar Zain ‘gay’, netizen suruh mohon maaf

"Melabelkan seseorang dengan panggilan gay di hadapan orang ramai, boleh saman atau tidak?

"Bukan setakat melabelkan seseorang gay sahaja, malahan tuduhan-tuduhan yang lain yang menjatuhkan maruah seseorang sehingga menyebabkan orang awam benci, marah atau memulaukan orang yang dituduh juga membolehkan seseorang memulakan tuntutan saman di mahkamah.

"Misalnya tuduhan seperti 'perempuan murah', 'penzina' dan lain-lain. Apakah perkataan yang dianggap sebagai 'defamatory' iaitu perkataan berbentuk fitnah yang menjadi pertimbangan di mahkamah?," tulis peguam berkenaan dalam satu hantaran di Facebook.

vida 2

Tangkap layar (screenshot) video daripada Instagram Datuk Seri Vida yang mencetuskan kontroversi.

Bagi menjelaskan isu berkenaan dengan lebih terperinci, peguam berkenaan turut menyertakan satu kes seumpamanya, melibatkan seorang pemimpin politik, Lim Kit Siang dengan Utusan Malaysia (M) Sdn Bhd pada 2013.

"Perkataan yang digunakan mempunyai kecenderungan menjatuhkan reputasi seseorang dalam kalangan masyarakat atau menyebabkan dia dipulaukan, dijauhi atau menyebabkan dia terdedah kepada kebencian atau menyebabkan reputasi kedudukan, jawatan atau perniagaannya tercemar," tulis Nor Zabetha menghuraikan salah satu elemen untuk membolehkan seseorang mengambil tindakan saman fitnah.

"Dalam kes Lim Kit Siang ini, dia menyaman Utusan Malaysia bagi artikel yang telah diterbitkan dalam akhbar defendan pada 18 Ogos 2013.

Tuduhan yang menjatuhkan maruah seseorang sehingga menyebabkan orang awam benci, marah atau memulaukan orang yang dituduh juga membolehkan seseorang memulakan tuntutan saman di mahkamah.

NOR ZABETHA MUHAMAD NOR

"Setelah meneliti segala bukti-bukti dan keterangan saksi, mahkamah berpendapat bahawa artikel yang dikeluarkan adalah berbentuk fitnah dan defendan diarahkan membayar ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi tauladan secara keseluruhan sebanyak RM250,000.00 dan kos sebanyak RM25,000.

"Jadi jelas sekiranya seseorang dituduh sebagai gay akan menyebabkan masyarakat umum memandang rendah kepadanya, menjauhi, memulaukan dan terdedah kepada kebencian.

"Maka orang yang dituduh tadi boleh mengambil tindakan saman fitnah," terangnya panjang lebar.

Kontroversi berkenaan bermula apabila Vida, 50, pada Selasa lalu menjawab pertanyaan seorang pengikut laman Instagram yang mencadangkan agar dirinya memikat penyanyi lelaki popular itu.

zabetha

Nor Zabetha aktif membuat kupasan mengenai isu semasa dari sudut undang-undang di laman Facebooknya.

Bagaimanapun jawapan Vida secara berbisik seakan berbunyi 'kay' atau 'gay' mengundang rasa kurang senang netizen.

Lebih mengundang kemarahan ramai apabila usahawan itu berdolak dalik dengan mengatakan bahawa dia tidak menyebut perkataan 'gay' tetapi 'okey'.

Setelah teruk dihentam netizen, Vida akhirnya mengalah dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada penyanyi itu dan anggota keluarganya pada Khamis.

Menerusi perkongsian di Instagram, Vida berkata kenyataannya sebelum ini hanyalah berbentuk gurauan tanpa niat tertentu.

Usahawan itu juga berkata dia menyimpan hasrat untuk bertemu sendiri adik kepada Ziana Zain itu bagi menyatakan permohonan maaf.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain