suria

Selepas KL, hujan batu melanda Shah Alam

Hujan batu dan angin kencang melanda beberapa kawasan di Shah Alam, petang Khamis. Foto: Twitter Rusukx

FENOMENA hujan batu dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Shah Alam, pada petang Khamis.

Ia menjadi tular di laman media sosial apabila netizen berkongsi video perihal fenomena tersebut.

"Hujan batu di Glenmarie, Shah Alam today... kitorang kat ofis dah cuak," demikian perkongsian pemilik akaun Twitter @rusukx.

Menerusi video berdurasi kira-kira enam saat itu, kelihatan ketulan ais jatuh di lantai bahagian luar pejabatnya ketika kawasan berkenaan dilanda hujan lebat berserta angin kencang.

Dalam perkongsian yang berasingan, netizen turut memuat naik video kejadian pokok tumbang menghempap kenderaan yang diparkir, difahamkan berlaku di Seksyen 9.

Sementara itu, kawasan parkir di pasar raya Giant di Seksyen 13 turut terkesan akibat hujan lebat dan ribut petir, di mana bumbung dan sebahagian strukturnya rosak.

Untuk rekod, Isnin lalu, penduduk di beberapa kawasan di ibu negara dikejutkan dengan kejadian hujan batu.

Kejadian sekitar jam 5 petang itu berlaku di beberapa kawasan antaranya Ukay Perdana dan Wangsa Maju.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain