suria

Najib dakwa hutang negara cecah RM1 trilion

Najib dakwa hutang negara cecah RM1 trilion

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa hutang langsung kerajaan telah mencecah RM1 trilion secara rasmi, pada Jumaat.

Ia sekali gus menunjukkan kenaikan 46 peratus, iaitu sebanyak RM316 bilion daripada RM686.8 bilion pada tahun 2017 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada RM1,002.9 bilion.

Najib di laman Facebooknya secara sinis, turut mengucapkan tahniah kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana visi mereka untuk hutang negara benar-benar mencecah RM1 trilion telah berjaya.

"Tahniah PH, tahniah (Lim) Guan Eng, tahniah Abahkau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan tahniah Atuk (Tun Dr Mahathir Mohamad!)

"Realitinya ialah masa saya (menjadi) PM (Perdana Menteri), pertumbuhan ekonomi adalah laju dan defisit kerajaan telah turun lapan tahun berturut-turut sebelum ia dinaikkan dengan laju selepas PRU14," katanya.



Gambar rajah menerangkan Hutang langsung kerajaan yang dikongsikan Najib di Facebooknya.

Jelas Najib, semasa PH memerintah, GST dimansuh, Petronas dijarah manakala aset-aset negara yang memberi pulangan yang baik pula dijual secara lambak oleh mereka manakala ekonomi negara lembab.

Akibatnya, kadar kenaikan hutang kerajaan sangat pantas, berbanding semasa pemerintahannya.

Sedangkan katanya, pada waktu itu PH sering kali menuduh negara akan bankrap di bawah pemerintahan Najib.

"Ada sesiapa dari geng sebelah sana nak sangkal pengiraan saya hari ini tak?

"Hutang langsung kerajaan ini adalah cara seluruh dunia mengira hutang sesebuah negara dan bukan cara dongeng yang diperkenalkan oleh kerajaan PH untuk tipu rakyat bahawa hutang Malaysia sudah cecah RM1 trilion semasa saya PM," ujar beliau. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain