suria

Keluarga remaja 'mandi jenazah', AJK masjid bermaafan

Keluarga remaja 'mandi jenazah' dan AJK masjid saling bermaafan

KELUARGA Daniel Iskandar Mohd Nasir dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Islahiah, Kuang telah mencapai kata sepakat untuk tidak lagi mengungkit kes remaja tersebut yang ditangkap akibat mencuri tabung di masjid tersebut.

Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, persetujuan tersebut dicapai menerusi satu rundingan damai di Masjid Islahiah, Kuang pada Jumaat yang turut dihadiri wakil keluarga Daniel, AJK masjid dan para peguam.

Menurutnya, semua pihak yang terlibat mencapai kata sepakat untuk saling bermaafan antara satu sama lain dan tidak akan mengungkit apa yang telah berlaku sebelum ini.

"Kesemua pihak yang terlibat telah bersetuju untuk tidak lagi mengingati apa yang telah berlaku sebelum ini dan membina jambatan ukhuwah antara Daniel Iskandar dan AJK masjid.

"Diharapkan pekara ini menjadi teladan kepada bukan sahaja masjid, tapi institusi Islam lain yang mana menjunjung prinsip ukhuwah sepertimana yang dianjurkan dalam al-Quran," katanya ketika sidang media selepas perbincangan dibuat.

Dalam pada itu, Zainul Rijal berkata, pihak keluarga Daniel Iskandar turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang merancang perbincangan tersebut untuk memberi peluang kepada pihak terbabit dan AJK masjid meluahkan perasaan masing-masing agar difahami oleh pihak lain.

Beliau berkata, pihak keluarga terbabit dan AJK masjid perlu memikirkan cara untuk mengeratkan silaturahim dan ukhuwah untuk menempuh apa yang berlaku pada masa akan datang berbanding mengungkit perkara lama.

"Apa yang penting di antara keluarga Daniel dan jawatankuasa masjid ialah bagaimana nak eratkan silaturahim dan ukhuwah untuk menempuh apa yang berlaku pada masa akan datang, berbanding untuk ungkit siapa yang rakam, sebar video siapa salah dan siapa betul.

"Kita nak capai persetujuan, jadi kita tidak menoleh ke belakang untuk mencari siapa yang betul, siapa yang salah. Kita melihat ke depan sahaja," katanya.

Turut hadir semasa perbincangan tersebut di sini ialah Timbalan Mufti Selangor, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris dan Ketua Kampung Damai, Kuang, Abdul Ghani Abdullah.

Mengulas lanjut berkenaan kemungkinan pihak masjid melantik imam baharu masjid tersebut, Abdul Ghani berkata, tiada perancangan untuk melantik imam baharu masjid berkenaan buat masa ini.

"Itu bukan kuasa pihak kami (untuk hubungi bekas imam masjid),bukan dalam bidang kuasa kami.

"Itu (melantik imam masjid baharu) pun masih belum dalam perancangan," katanya.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja yang dimandikan seperti jenazah, atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.

Hakim Datuk Abd Halim Aman memutuskan demikian terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Beliau berkata, hukuman itu bagaimanapun diganti kepada khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

mandi, jenazah, masjid, curi, tabung

Artikel Berikut

Artikel Lain