suria

Malaysia terima 624,000 dos vaksin Pfizer untuk kanak-kanak

Penghantaran pertama dos vaksin jenis mRNA Comirnaty 10 Mikrogram (mcg) Concentrate for Dispersion (Pfizer BioTech) diterima pada Jumaat. Foto: Facebook KKM

MALAYSIA menerima sebanyak 624,000 dos vaksin jenis mRNA Comirnaty 10 Mikrogram (mcg) Concentrate for Dispersion (Pfizer BioTech) menerusi penghantaran pertama, pada pagi Jumaat.

Menerusi hantaran di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), vaksin berkenaan tiba pada jam 7.15 pagi menggunakan pesawat TH383 milik Raya Air

Vaksin yang akan digunakan untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun itu adalah dari kilang Pfizer di Belgium dan diuruskan oleh syarikat farmaseutikal tersebut, manakala DHL sebagai peneraju dalam industri logistik.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendaftaran dibuka hujung Januari, ini 10 perkara ibu bapa perlu tahu tentang program vaksinasi kanak-kanak

"Sebanyak 72 kotak mengandungi vaksin ini akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di 12 buah negeri seperti Pahang, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

"Manakala di kawasan utara seperti Kedah, Perlis, Perak akan terus dihantar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang," menurutnya.

Tambah KKM, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam ULTF dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Transmile Cargo Kompleks Raya Subang.

"Selesai proses pemindahan, trak syarikat logistik itu diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan.

"Vaksin Covid-19 yang telah tiba di Malaysia akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara.

Ini termasuk penghantaran menerusi udara dari Subang ke Sabah dan Sarawak mengikut jadual penerbangan yang telah ditetapkan," katanya lagi.

Menurut KKM, dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin tersebut.

Sebagai permulaan, pemberian vaksin Pfizer (kanak-kanak) akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi mereka yang mempunyai masalah perubatan, manakala bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan, vaksin tersebut akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.

"Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berumur dari lima hingga bawah 12 tahun boleh membuat tempahan melalui Sistem Tempahan Janji Temu di Aplikasi MySejahtera.

"Melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka.

"Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat," katanya.

Untuk rekod, sehingga Jumaat, seramai 484,639 kanak-kanak dalam lingkungan umur tersebut telah mendaftar di MySejahtera.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain