suria

Bekas ustazah didakwa pukul rakan sekerja hingga parah gara-gara bertengkar kerana lelaki

Bekas ustazah didakwa di mahkamah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada rakan sekerjanya.

SEORANG bekas ustazah di sebuah sekolah rendah agama (SRA) didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada rakan sekerjanya, selepas mangsa menuduhnya keluar dengan seorang lelaki.

Nurul Hidayah Khairuddin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin pada Selasa.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah mendatangkan kecederaan parah terhadap Nurul Nadirah Ahmad Ropie, 24, susulan berlaku pertengkaran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kelas 2 Omar di SRA Jabatan Agama Melaka (JAIM) daerah Melaka Tengah pada 2.40 petang, 28 September 2022.

ARTIKEL BERKAITAN: “Penting ke kau nak pukul muka anak aku?” - Ibu tengking guru di sekolah, berang hukum murid cara kasar dengan buku

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, pergaduhan antara kedua-dua guru wanita itu tercetus selepas tertuduh berang mangsa telah memfitnah dirinya dengan memberitahu kepada guru besar sekolah berkenaan bahawa dia telah keluar berduaan dengan lelaki lain.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Fahmy Mohd Sulaiman.

Mahkamah juga diberitahu bahawa tertuduh juga telah ditamatkan perkhidmatannya berikutan kejadian itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 13 Mac sebagai tarikh sebutan berikutnya. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain