suria

Utamakan kesejahteraan Keluarga Malaysia... PM segera atasi kenaikan harga ayam

Harga maksimum runcit ayam standard turun sebanyak 20 sen, daripada RM9.10 kepada RM8.90 sekilogram.

KERAJAAN peka dengan kenaikan harga barang baru-baru ini dan komited untuk memastikan perkara ini ditangani segera demi kesejahteraan Keluarga Malaysia, ujar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 24 Januari lalu.

Hanya beberapa hari selepas itu pada 31 Januari, beliau mempengerusikan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang memutuskan untuk menurunkan harga maksimum runcit ayam standard sebanyak 20 sen iaitu daripada RM9.10 kepada RM8.90 sekilogram.

Harga siling telur ayam untuk semua gred pula kekal sama dan akan berkuat kuasa sehingga 5 Jun ini.

Keputusan ini dibuat di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (atau Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia, SHMKM). Ini merupakan kali ketiga harga ayam diturunkan.

Semasa sambutan perayaan Deepavali, harga ditetapkan pada RM9.50 sekilogram. Bagaimanapun, semasa SHMKM awal (7 Disember hingga 31 Disember 2021), ia diturunkan kepada RM9.30. Harga itu diturunkan lagi kepada RM9.10 apabila SHMKM dilanjutkan kepada 4 Februari.lalu dan kali ini, ia telah turun kepada RM8.90.

Langkah lain juga sedang diambil untuk menambah bekalan ayam di pasaran tempatan.

Menurut Ismail Sabri, permit import ayam keseluruhan kini dibuka kepada semua pengimport yang mempunyai permit (AP) yang diluluskan. Sebelum ini hanya import bahagian ayam seperti sayap dan paha sahaja dibenarkan. Di samping itu, AP import ayam akan diperluaskan ke pasar raya besar.

file7jghmaqg4w4tue6enkf

Harga siling telur ayam untuk semua gred pula kekal sama dan akan berkuat kuasa sehingga 5 Jun.

Kaedah lain untuk mengawal inflasi ialah mempergiatkan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dijadualkan untuk semua 222 kawasan parlimen, bagi membantu rakyat mendapat lebih banyak akses kepada keperluan asas yang lebih murah.

“Kedai Harga Patut juga perlu diaktifkan semula di seluruh negara, manakala pasar tani perlu beroperasi sekerap mungkin,” kata Ismail Sabri pada akhir bulan lalu.

“Pihak yang terlibat dalam industri pertanian akan diminta untuk menawarkan keperluan asas tanpa penglibatan orang tengah sebagai cara menstabilkan harga,” katanya.

Mesyuarat NACCOL juga bersetuju untuk mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menyiasat kemungkinan kartel menetapkan harga ayam dan telur.

Cabaran industri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 2 Februari lepas berkata tanpa kawalan di pihak kerajaan, harga runcit ayam mungkin melebihi RM10 sekilogram kerana kos ternakan itu meningkat 70 peratus.

Sebabnya, bijirin bukan lagi "makanan untuk ternakan". Sejak Oktober 2020, kos jagung telah meningkat lebih daripada 60 peratus, manakala harga makanan berasaskan kacang soya naik kepada lebih daripada 40 peratus. Masalah lain ialah kekurangan pekerja asing yang kebanyakannya telah pulang ke negara asal semasa pandemik Covid-19.

file7ffo8sz2su01jtap9ah7

Permit import ayam keseluruhan kini dibuka kepada semua pengimport yang mempunyai permit (AP) yang diluluskan.

Oleh itu, penurunan harga runcit (sementara kos meningkat) mungkin menjejaskan industri penternakan ayam (dan keselamatan makanan kita), dengan ladang yang lebih kecil terpaksa ditutup.

Bagi menangani perkara ini, Ismail Sabri pada 31 Januari berkata, kerajaan akan memberikan subsidi kepada industri untuk membantu mereka.

Perincian mengenai subsidi bakal dilaksanakan oleh pasukan petugas kos sara hidup sehingga harga stabil. Pasukan petugas tersebut diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), bekerjasama dengan beberapa kementerian lain, wakil syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkaitan pengguna.

Mengulas isu kekurangan buruh asing, Perdana menteri memaklumkan bahawa permohonan untuk mengambil pekerja Bangladesh dibuka secara berperingkat pada 28 Januari lalu.

Langkah jangka panjang

Mesyuarat NACCOL juga membincangkan langkah-langkah jangka panjang yang diperlukan untuk menangani isu bekalan dan pengeluaran makanan, terutamanya untuk ayam dan telur ayam.

Pertama, Kementerian Kewangan akan meneliti insentif cukai untuk memudahkan transformasi industri penternakan ayam, kata Ismail Sabri.

Langkah lain ialah menyokong penyelidikan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) tentang bagaimana isirung kelapa sawit boleh menggantikan jagung dan soya sebagai makanan ayam untuk mengurangkan kos.

Perdana Menteri turut mencadangkan kerajaan negeri melanjutkan tempoh aktiviti pertanian bagi tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL).

“(Lebih banyak) pelan tindakan jangka panjang akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat NACCOL akan datang,” katanya.

“Tindakan proaktif mesti diambil oleh kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan dan pada masa yang sama juga memastikan industri penternakan ayam tidak terjejas serta dapat memastikan bekalan kekal stabil," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain