suria

Pegawai pemasaran pandu lawan arus didakwa bunuh dua remaja

K Devaaswin (kanan) menundukkan kepala dan mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca.

SEORANG pegawai pemasaran pengangkutan yang memandu kenderaan secara melawan arus sehingga menyebabkan dua remaja terkorban di Kilometer 8.6 Lebuh Raya Persekutuan, lebih seminggu lalu didakwa membunuh di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Isnin.

Pemandu berkenaan, K Devaaswin, 24, hadir dengan memakai baju T berlengan panjang warna hitam dilihat menundukkan kepala dan mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkod daripada tertuduh selepas dua pertuduhan dibaca secara berasingan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

ARTIKLE BERKAITAN: Pemandu pacuan empat roda lawan arus positif ganja

Mengikut pertuduhan, Devaaswin yang masih bujang itu, didakwa melakukan bunuh terhadap Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, dan Nur Afiqah Abdul Karim, 18, di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur pada jam 1.50 pagi, 12 September lalu.

Atas kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum gantung sampai mati dan tiada jaminan diberikan.

Mahkamah menetapkan 21 Oktober depan untuk serahan laporan kimia serta bedah siasat.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Pushpa Ratnam dan R Thanuja.

Pada 12 September lalu, dua maut selepas kereta Proton Wira Aeroback yang dinaiki, dirempuh pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu melawan arus di 8.5 Kilometer Lebuh Raya Persekutuan.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib hasil siasatan awal mendapati, pemandu pacuan empat roda dilaporkan positif ganja.-SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain