suria

SPRM sahkan 3 pegawainya ditahan reman dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dalam urusan kes

SPRM dalam satu kenyataan berkata pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

SPRM dalam satu kenyataan pada Isnin menegaskan bahawa agensi ini tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.

"Ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 hingga 19 September 2021.

"Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan," demikian menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan tiga pegawai kanan SPRM direman kerana curi barang kes wang tunai berjumlah AS$6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya sedia maklum berhubung isu tular mengenai tiga pegawai SPRM tersebut.

"PDRM mengesahkan bahawa sehingga hari ini, tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian ini," katanya melalui kenyataan, juga pada Isnin.

Artikel Lain