suria

Kemasukan IPT secara fizikal bermula 15 Oktober, ini 7 perkara yang pelajar perlu tahu sebelum pulang ke kampus

Kemasukan semula pelajar IPT secara fizikal bermula 15 Oktober. - gambar hiasan

KEMASUKAN semula pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) secara fizikal dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pelaksanaan itu melibatkan mereka yang telah lengkap divaksin.

"Kemasukan semula penuntut yang telah lengkap divaksin ke IPT ini membabitkan semua kategori pelajar dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

"Proses kemasukan pelajar akan menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT.

"Keberadaan warga IPT sudah lengkap divaksin akan membentuk komuniti sosial yang selamat dan mewujudkan persekitaran Fasa 4 PPN dalam kampus," katanya pada sidang media Pengumuman Pengoperasian IPT yang diadakan secara maya, Selasa.

Noraini berkata, pengukuhan SOP di kampus amat ditekankan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Berikut adalah pergerakan bagi kemasukan pelajar ke IPT:

1. Bagi IPT di semenanjung, hanya surat kebenaran kembali ke kampus daripada IPT diperlukan.

2. Bagi IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan pula, ia tertakluk kepada SOP yang dikuatkuasakan kerajaan negeri masing-masing;

- Pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah/negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta menjalani ujian calitan RT-PCR.

- Namun cakna terhadap kos perlu ditanggung pelajar, ujian ini akan diberikan secara percuma di klinik kesihatan kerajaan.

3. Kementerian Pengajian Tinggi menetapkan supaya IPT menyediakan pusat pengasingan di institusi masing-masing bagi menguruskan kes bergejala atau jangkitan.

4. Pihak IPT juga digalakkan untuk memberi kit ujian kendiri Covid-19 kepada pelajar yang kembali ke kampus.

5. Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

6. Bagi kursus atau program yang dijalankan secara dalam talian, pelajar boleh memilih untuk meneruskan PdP secara dalam talian di lokaliti masing-masing.

7. Aktiviti-aktiviti melibatkan makmal, bengkel, studio dan penyelidikan boleh dijalankan secara berkumpulan, berpandukan SOP yang ditetapkan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain