suria

Dewan Rakyat: Ahli Parlimen kuarantin kena pakai PPE jika hadir sesi undian

Azhar (gambar fail) di Dewan Rakyat.

AHLI Parlimen diwajibkan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) untuk menghadiri sesi pengundian di Dewan Rakyat, sekiranya mereka sedang menjalani tempoh perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Perkara itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Beliau memberitahu, langkah itu pernah dilaksanakan pada persidangan 14 dan 15 Disember lalu bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Azhar berkata, selain itu, turut disyorkan adalah sistem penggiliran setiap satu jam melibatkan kehadiran ahli Parlimen di Dewan Rakyat sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ahli Dewan yang berstatus HSO disebabkan kontak rapat diberi pilihan untuk sesi undian jika ada sesi undian dengan memakai PPE, perkara ini pernah dilakukan pada 14 dan 15 Disember yang lalu," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Selasa.

Sidang Parlimen pada Selasa bakal memberi tumpuan kepada usul untuk memilih seorang lagi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, yang akan berlangsung sebaik selesai sesi pertanyaan menteri dan jawab lisan.

Undian dijangka diadakan bagi memilih seorang calon ahli Parlimen berikutan terdapat dua calon dinamakan sebelum ini oleh blok kerajaan dan pembangkang.

Dalam pada itu, Azhar berkata, pengurusan Parlimen juga telah mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditambah baik.

Katanya, ahli-Ahli Parlimen perlu menjalani ujian RTK air liur secara berkala sepanjang tempoh persidangan. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain