suria

Memasuki fasa endemik, kelonggaran SOP termasuk rentas negeri dibincangkan esok - Hishammuddin

Hishamuddin tidak memperincikan waktu dan lokasi pertemuan tersebut dan hanya memberitahu ia akan diadakan pada Selasa. foto: The Star

SATU pertemuan akan diadakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan tiga rakan Kabinet pada Selasa bagi membincangkan penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) serta bentuk kelonggaran dalam negara menuju ke fasa endemik.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sembrong itu tidak memperincikan waktu dan lokasi pertemuan tersebut dan hanya memberitahu ia akan diadakan esok.

Menurut beliau, tiga menteri yang akan ditemuinya ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Hishammuddin berkata, dalam pertemuan itu, beberapa agenda akan dibincangkan termasuk berkaitan perjalanan rentas negeri, pembukaan sektor-sektor tertentu, gelembung pelancongan dan naratif untuk memasuki fasa endemik.

“Pertama, kita akan lihat kepada keputusan-keputusan kelonggaran yang telah pun diumumkan kepada orang ramai dan bagaimana SOP yang sedia ada dapat dipermudahkan dan difahami. Ini memerlukan input daripada keempat-empat menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengkoordinasikan input daripada empat pihak ini.

“Tan Sri Annuar Musa boleh bantu untuk ceritakan dan maklumkan kepada orang ramai melalui platform sedia ada,” kata beliau dalam sidang media di Wisma Pertahanan pada Isnin.

Tambah beliau, penelitian juga akan diberikan kepada agenda memasuki endemik dan kelonggaran yang dipersetujui sebelum ini di mana ia perlu diperhalusi sebaiknya sebelum diumumkan kepada orang ramai.

Jelasnya, kelonggaran itu termasuklah kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor.

“Dalam konteks endemik, bagaimana kita boleh cari jalan untuk hidup dengan Covid-19 ini. Kita dah umumkan bahawa pendekatan ini akan diputuskan pada hujung Oktober.

“Begitupun, pemikirannya perlu dibincangkan daripada sekarang dan itu merupakan sebahagian daripada agenda kita esok,” ujarnya.

Hishammuddin dalam kenyataan pada minggu lepas memberitahu kerajaan sedang meneliti kelonggaran bersesuaian bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian lebih bebas dalam norma baharu.

Dalam pada itu, kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat di samping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. -SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain