suria

PM tak mahu ada pihak sengaja cetuskan keresahan rakyat, komited adakan sidang Parlimen dengan SOP ketat

Perdana Menteri menzahirkan pendirian untuk terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

SIDANG Parlimen boleh diadakan sekitar bulan September atau Oktober ini.

Demikian kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara pada Selasa petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas pemimpin politik, Raja-Raja Melayu berkenan terima sembah taklimat pakar agensi kerajaan esok

"Saya ingin memberikan komitmen bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa ini iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.

"Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok," ujar Muhyiddin.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Malah, beliau juga menzahirkan pendirian untuk terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

"Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama Kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu kata Muhyiddin, peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos akan diterima pada hujung bulan Julai ini.

Dengan peningkatan kadar pemberian vaksin harian juga, ia sekaligus memberi lebih keyakinan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

"Pada permulaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kadar vaksinasi adalah sekitar 5, 000 hingga 8, 000 dos sehari dan telah meningkat ke 50, 000 hingga 80, 000 sekitar bulan Mei.

"Semalam, kadar vaksinasi telah mencecah 197, 963 dos dan saya yakin usaha ini akan terus dipertingkatkan hingga lebih 300, 000 dos sehari dalam bulan-bulan mendatang," ujar Muhyiddin.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain