suria

Dapur rumah mak di K.Lumpur, nak ke ruang tamu di Selangor kena rentas negeri pula... anak sedih dah 2 tahun tak dapat balik beraya

Foto kiri menunjukkan Sharina (dua, kanan) bersama keluarga di Tanjung Piandang, Perak, manakala gambar kanan ibunya membuat video call di Gombak, Selangor.

KECOH sebelum ini seorang wanita ‘merentas negeri’ tanpa sekatan jalan raya, yang mana dia sebenarnya menunjukkan rumah ibu bapanya yang terletak betul-betul di sempadan Kuala Lumpur-Selangor.

Menerusi video yang tular itu, wanita berkenaan menunjukkan dapur rumah ibu bapanya terletak di Kuala Lumpur, sebelum berjalan beberapa langkah ke bahagian ruang tamu di negeri Selangor.

Namun tidak ramai yang tahu wanita itu kini menetap bersama suami dan dua anaknya di Tanjung Piandang di Kerian, Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini 'rentas negeri' tanpa roadblock... dapur di KL, ruang tamu di Selangor - "Majlis kahwin kena pacak bunga manggar sepanjang jalan"

Wanita berkenaan, Sharina Intan Sharum berkata, rakaman itu dibuat secara kebetulan ketika dia pulang ke Kuala Lumpur dengan kebenaran bagi menguruskan asrama anaknya.



Tangkap layar video Sharina menunjukkan dapur rumah ibu bapanya terletak di Kuala Lumpur, dan ruang tamu di Selangor.

"Itu pun setelah sekian lama saya tidak balik ke Kuala Lumpur. Memandangkan masih lagi dalam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan larangan rentas negeri, saya sekeluarga beraya di Tanjung Piandang bersama ibu mentua.

"Kalau ikut jadual giliran bersama suami, tahun ini kami beraya di rumah keluarga saya di Gombak. Rasa terkilan juga kerana tidak dapat beraya bersama mereka di sana," katanya kepada mStar.



Sharina (belakang, empat dari kiri) beraya di Gombak sebelum pandemik Covid-19.

Lebih dikenali sebagai Kak Intan, dia yang tinggal bersama ibu mentua berkata, kali terakhir dia menyambut Aidilfitri di Gombak pada 2019 dan banyak kenangan yang disimpan hingga kini.

"Kami dapat berkumpul ramai dalam satu rumah. Adik-adik saya pun pada tahun itu ada bersama, dan tidak pulang ke rumah mentua masing-masing.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Setiap kali kami balik ke Gombak untuk beraya, kami tidak perlu bergegas pulang untuk elak jem. Selalunya kami balik dua atau sehari sebelum hari raya tanpa perlu hadap kesesakan lalu lintas, perjalanan pulang ke Kuala Lumpur berjalan lancar.

"Kawan-kawan selalu terlepas rumah setiap kali nak datang beraya ke rumah kami. Terpaksa guna aplikasi Waze atau Google Map," ujar anak sulung daripada enam beradik itu.



Sebahagian keluarga di Gombak pada Aidilfitri 2020. Sharina sekeluarga beraya di Perak kerana PKP.

Bagi Sharina, suasana Aidifitri di rumah keluarganya yang beralamatkan 'Kuala Lumpur Selangor' itu begitu meriah apabila dia bersama adik-beradiknya bertukar juadah.

"Ada tahun kami masak Bahmia makan bersama French bread, daging Shasookar bersama French bread, Nasi Bukhari.

"Tapi semestinya juadah wajib ada rendang daging, ketupat dan kuah kacang. Itu wajib ada sebagai simbolik hari raya di Gombak," tambahnya.



Juadah raya di Tanjung Piandang.

Mengenai Aidilfitri tahun ini, Sharina yang mengusahakan bisnes barangan vintaj berkata, dia bersama suami dan anak-anak akan menyambutnya secara bersederhana.

"Sebelum ini pun persediaan kami sederhana tetapi meriah. Tahun lepas untuk memeriahkan hari raya (PKP pertama), saya masak Bahmia kambing bersama French bread.

Harap tahun depan kami dapat berkumpul seisi keluarga seperti tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19, dan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim bersama

SHARINA

"Tahun ini kami kurang bersemangat untuk menyambut hari raya, kerana kali ke-2 kita dalam suasana PKP. Tahun lepas tak terasa sangat, tetapi tahun ini ada sedikit sayu.

"Saya ada hubungi mama (ibu), dia juga kurang bersemangat nak sediakan juadah raya memandangkan adik-beradik serta saudara-mara tidak boleh merentas negeri/daerah untuk menyambut raya bersama," katanya yang berhubung dengan keluarganya di Gombak menerusi panggilan video.



Ibu Sharina (dua, kiri) ketika berhubung dengannya menerusi panggilan video, Aidilfitri tahun lalu.

Dia bagaimanapun berharap agar Aidilfitri akan datang memberi peluang kepada semua untuk kembali beraya bersama keluarga masing-masing.

"Harap tahun depan kami dapat berkumpul seisi keluarga seperti tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19, dan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim bersama," katanya.



Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain