suria

6 tahun yang indah... ibu angkat rindu lihat keletah arwah Amir sambut Aidilfitri, tiada lagi kata pujian “sedapnya Tok!”

Sambutan Aidilfitri keluarga Norlida sayu tanpa keletah 'anak bongsu', Allahyarham Amir yang meninggal dunia Januari lalu.

KISAH kanak-kanak bernama Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek yang meninggal dunia pada 29 Januari lalu dipercayai akibat didera ibu kandung sendiri, tercatat sebagai salah satu kisah sedih dalam lipatan sejarah negara.

Pemergian kanak-kanak berusia tujuh tahun itu ditangisi seluruh rakyat Malaysia yang terkesan dengan kematiannya yang tragis.

Pada ketika umat Islam sedang meraikan lebaran, sudah pastinya tumpuan terarah kepada keluarga Norlida Abu Hassan memandangkan tahun ini adalah tahun pertama mereka beraya tanpa Allahyarham Amir di sisi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiba masa ibu angkat tunai janji... detik hiba anak dijaga sejak bayi perlu diserah kepada mak kandung - “Tak pernah niat rebut Amir”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak mampu jaga, tak payahlah ambil” - Selepas 3 bulan diserah kepada ibu kandung, Amir pergi jua... luluh hati ibu angkat dapat tahu didera punca kematian

Keluarga Norlida memelihara Allahyarham Amir sejak usianya dua bulan sebelum menyerahkannya semula kepada ibu kandung pada Oktober tahun lalu.

Selama enam tahun meraikan hari raya bersama Amir, namun Syawal kali ini terasa sayu memandangkan tiada lagi suara riuh 'si bongsu' seperti tahun-tahun sebelumnya.

Mengimbas memori Aidilfitri bersama Amir, menurut Norlida, mereka sekeluarga lazimnya akan pulang berhari raya di kampung halamannya di Kedah.



Kenangan Aidilfitri keluarga Norlida bersama Allahyarham Amir pada tahun lalu.

"Amir ni memang paling happy, dia suka sangat kalau balik Kedah. Dia seronok sebab sepupu sepapatnya akan layan dia walaupun mereka semua dah besar-besar sebaya anak-anak saya yang lain.

"Keluarga sebelah saya termasuk ibu menerima Amir seperti cucu kandung. Mereka rajin layan dia main bunga api. Ibu saya pula akan buatkan ketupat palas dan gulai daging sebab ia adalah makanan kegemaran Amir.

"Amir ni pandai ambil hati. Dia akan puji 'sedapnya Tok' bila makan ketupat yang dibuat neneknya itu. Sayu sangat tahun ini bila dia dah tiada sampai ibu saya pun terkenang 'dah tak ada Amir nak makan ketupat Tok'.



Norlida (kiri) dan keluarganya memelihara Amir sejak kanak-kanak itu berusia dua bulan.

"Selain itu, Amir juga suka makan nasi impit dengan kuah lontong. Dua juadah itu memang makanan kegemaran dia masa raya," kata Norlida kepada mStar.

Tambah wanita berusia 50 tahun ini, ketiadaan Amir pada tahun ini dirasai oleh seluruh keluarga kerana kesemua lima anaknya memanjakan arwah seperti adik kandung sendiri.

"Contohnya Ramadan tahun lalu, Amir akan ikut Abang Ngah (anak kedua) pergi rumah orang untuk hantar beras yang orang infaq. Begitu juga dengan Kakak (anak ketiga), Amir akan bantu dia buat kuih raya.

Amir ni pandai ambil hati. Dia akan puji 'sedapnya Tok' bila makan ketupat yang dibuat neneknya itu.

NORLIDA ABU HASSAN

IBU ANGKAT

"Bagi saya pula, pagi 1 Syawal saya akan siapkan Amir sebelum kami menunaikan solat sunat Aidilfitri dan bersalam-salaman. Tahun lalu PKP... kami bertakbir dan solat di rumah di Rawang saja. Suara dia paling kuat bertakbir.

"Tapi kini semua tiada lagi... hanya kenangan bersama arwah sahaja," ujar Norlida lagi.

Walaupun kisah duka itu sudah berlalu lebih tiga bulan, namun rindu Norlida kepada anak angkatnya itu tidak bertepi.

Ujar Norlida, keluarganya masih bersedih dan sering terkenangkan arwah Amir, namun mereka reda bahawa kanak-kanak itu adalah pinjaman sementara untuk mencurahkan kasih.



Kenangan percutian terakhir keluarga Norlida bersama Allahyarham Amir.

"Ya, sampai sekarang air mata tetap akan mengalir kerana rindu. Seringkali kami akan baca Yasin untuk ubati kerinduan. Memang niat nak ziarah pusara Amir di Melaka ketika raya, namun apakan daya keadaan sekarang tak mengizinkan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kami bersyukur kerana mendapat peluang untuk menziarahinya sebelum Ramadan lalu. Mungkin ada orang fikir 'anak angkat saja pun' tapi walaupun Amir tak lahir dari rahim saya, kami tak pernah anggap dia sebagai orang luar.

"Kami anggap dia sebagai amanah Allah untuk dijaga. Ketahuilah, walaupun Amir dah tak ada ada, kasih sayang Umi untuk Amir tetap utuh," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain