suria

Wanita ini ‘rentas negeri’ tanpa roadblock... dapur di KL, ruang tamu di Selangor – “Majlis kahwin kena pacak bunga manggar sepanjang jalan”

Sharina (kiri) menunjukkan dapur rumah ibu bapanya terletak di Kuala Lumpur, manakala ruang tamu di Selangor.

SATU video yang dikongsi di aplikasi TikTok hangat diperkatakan kerana menunjukkan seorang wanita dikatakan 'merentas negeri'.

Namun, jangan salah sangka kerana video tersebut memaparkan wanita itu menunjukkan rumah ibu bapanya yang terletak betul-betul di sempadan Kuala Lumpur-Selangor.

Menerusi video itu, wanita berkenaan menunjukkan dapur rumah ibu bapanya terletak di Kuala Lumpur, sebelum berjalan beberapa langkah ke ruang tamu di Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda bina bilik tersembunyi di rumah pusaka usia lebih 100 tahun... masuk kena merangkak, tak boleh berdiri! - "Dulu bangun tidur je ada kesan cakar"

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah kampung bertukar wajah dalam sebulan, selepas siap tak sangka ramai singgah nak tangkap gambar

"Nak minum air kena pergi KL," antara komen netizen yang mencuit hati.



Ruang tamu di 'Selangor'.

Wanita berkenaan, Sharina Intan Sharum berkata, rumah yang terletak di Jalan Gombak itu dibina di atas tanah yang dibeli bapanya yang terletak di sempadan Kuala Lumpur-Selangor.

Dia yang berasal dari Kuala Lumpur memberitahu, video tersebut dirakamkan bagi menunjukkan keunikan rumah ibu bapanya yang banyak meninggalkan kenangan manis buat dirinya.

"Mak ayah berpindah ke rumah ini pada 2002 selepas mereka bersara. Mengikut pelan, rumah mak ayah betul-betul terletak di garisan sempadan Kuala Lumpur dan Selangor.

"Tak ada roadblock (sekatan jalan raya). Tak perlu keluar rumah pun untuk rentas negeri. Jalan sikit beberapa langkah dari dapur di Kuala Lumpur, dah boleh sampai ke ruang tamu di Selangor," ujar wanita berusia 50 tahun kepada mStar.



Aktiviti anak saudara Sharina di dapur di 'Kuala Lumpur'.

Lebih dikenali sebagai Kak Intan, katanya, rumah banglo tiga tingkat dengan tujuh bilik tidur itu didiami oleh ibu bapanya masing-masing berusia 73 tahun dan 78 tahun, termasuk keluarga adiknya.

Tambahnya, dia juga pernah menetap di rumah tersebut bersama suami dan anak-anaknya selama lima tahun dari 2010 hingga 2015.

"Rumah ni agak pelik sikit kerana kedudukannya yang boleh dilihat dari jalan besar, selain kereta perlu diletakkan di tingkat bawah, dan perlu naik tangga di luar untuk ke pintu masuk yang menempatkan ruang tamu.

"Asalnya nak buat garaj kereta di tingkat bawah, tetapi ayah kemudian ubah suai menjadikannya sebagai rumah untuk disewa," kata anak sulung daripada enam beradik itu.



Sharina (dua, kanan) bersama ibu bapa serta suami dan anak-anak.

Menurut Sharina, rumahnya yang beralamatkan 'Kuala Lumpur Selangor' itu menimbulkan kekeliruan bukan sahaja dalam kalangan tetamu, bahkan penghantar barang.

"Pihak kurier selalu keliru. Bila guna aplikasi Waze atau Google Map, ia akan bawa ke jalan yang betul dan mereka sebenarnya lalu depan rumah, tapi tak berhenti pun sebab tak jumpa.

Setiap kali ada orang nak hantar barang, kami terpaksa tunggu di luar rumah, sambil bercakap dengan mereka menerusi panggilan telefon sehingga mereka jumpa rumah kami

SHARINA INTAN SHARUM

"Jadi setiap kali ada orang nak hantar barang, kami terpaksa tunggu di luar rumah, sambil bercakap dengan mereka menerusi panggilan telefon sehingga mereka jumpa kami.

"Selain rumah tiga tingkat, bagi memudahkan mereka untuk mengenali rumah mak ayah saya ini adalah bumbungnya berwarna biru sejak. Kalau nampak bumbung biru itulah rumah kami," ujar ibu kepada dua anak itu.



Sharina (belakang, empat dari kiri) bersama sebahagian keluarganya.

Selain itu, Sharina yang mengusahakan bisnes barangan vintaj berkata, keluarganya juga perlu memasang 'papan tanda' di luar rumah setiap kali mengadakan majlis atau rumah terbuka terutama setiap kali menjelang Aidilfitri.

"Rumah mak ayah buat pertama kali diadakan majlis perkahwinan adik perempuan saya pada 2009 dan mengundang tetamu untuk memeriahkan suasana.

"Bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai atau sesat, untuk ke majlis kahwin adik, kami pacakkan beberapa batang bunga manggar beberapa ratus meter sepanjang jalan ke rumah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain