suria

Peniaga kedai runcit pula kena kompaun RM50,000 – “Hutang sedia ada pun belum dapat bayar”

Mansah menunjukkan surat kompaun yang dikenakan kepadanya.

LAGI kes peniaga yang dikenakan kompaun sebanyak RM50,000.

Begitulah yang dihadapi seorang pemilik kedai runcit yang mendakwa dia mungkin terpaksa berhutang untuk membayar kompaun RM50,000 yang dikenakan kepadanya atas dakwaan membuka perniagaan lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mansah Marjurin, 47, memberitahu, dia akan mengambil tindakan itu sekiranya tidak mendapat pengurangan ke atas jumlah kompaun tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga colek pula kena kompaun RM50,000 - "Nak dapat RM100 setiap malam pun susah"

ARTIKEL BERKAITAN: Dikompaun RM50,000, isteri peniaga burger dedah ada orang tak puas hati - "Kami hanya cari makan depan tangga rumah..."

"Jika tiada pengurangan, saya perlu berhutang untuk membayar kompaun berkenaan, saya tiada duit, hutang sedia ada pun belum dapat dibayar," katanya.

Mansah antara tiga peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000 pada Ahad lalu bagi kesalahan beroperasi lebih masa ketika PKP.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pemilik kedai runcit di Jalan Chempaka itu berkata, dalam kejadian jam 11.30 malam itu, dia sedang berbual dengan isteri bersama beberapa anggota keluarga yang lain selepas menutup kedai pada jam 9.45 malam.

Bagaimanapun kemudian dikejutkan dengan kedatangan anggota penguat kuasa yang menganggap dia masih lagi membuka operasi kedai runcit berkenaan.

"Kedai sudah tutup, cuma lampu belum tutup sebab ada saudara saya yang datang ke rumah. Itu saja. Disebabkan lampu tidak tutup, mereka ingat saya masih lagi buka kedai.

"Saya sudah terangkan tetapi mereka tidak terima, kononnya saya memberikan alasan. Saya tidak mampu cakap apa lagi sedangkan ketika itu kami semua sedang berehat dan berbual," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Bapa kepada tiga anak tersebut turut berkongsi keadaannya ketika ini yang sudah lebih lima bulan tidak membayar sewa rumah dan dibenarkan duduk atas ihsan pemberi sewa, selain mempunyai tunggakan bil elektrik serta bayaran ansuran kenderaan.

Namun dia tetap meneruskan perniagaan untuk membayar secara ansur-ansur semua hutang yang perlu dijelaskan tetapi kini dikejutkan pula dengan kompaun yang tidak masuk akal.

Ketika ditanya mengenai kompaun berkenaan, Mansah memberitahu, dia dan isteri telah mengambil borang pengurangan kompaun dan akan menyerahkan kepada pihak berkenaan pada Khamis. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain