suria

Peniaga colek pula kena kompaun RM50,000 - “Nak dapat RM100 setiap malam pun susah”

Peniaga colek berkenaan mendakwa dia sudah menutup operasi gerainya pada pukul 10 malam. Gambar hiasan

SELEPAS kecoh isu seorang peniaga burger dikompaun RM50,000 kerana berniaga melebihi had masa, terbaharu tular pula kisah seorang peniaga colek yang turut dikenakan jumlah kompaun yang sama.

Memetik laporan Berita Harian, peniaga colek tersebut, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, telah dikenakan kompaun dua hari lalu sewaktu beberapa anggota polis datang ke rumahnya di Kampung Chekok Tengah, Kota Bharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikompaun RM50,000, isteri peniaga burger dedah ada orang tak puas hati - “Kami hanya cari makan depan tangga rumah...”

"Saya terkejut dan terkedu ketika melihat jumlahnya, sedangkan nak dapat RM100 setiap malam dengan berniaga colek pun susah kerana saya hanya berniaga di kawasan kampung," katanya yang berniaga colek pada sebelah malam sepanjang Ramadan di hadapan rumahnya.

"Ketika polis datang, kedai saya sudah ditutup pada pukul 10 malam dan kebanyakan lampu dimatikan. Hanya lampu di dapur yang masih terbuka kerana saya dan isteri masih mengemas," katanya sambil menambah pada waktu yang sama, dia sedang memasak makanan untuk anak-anaknya yang masih belum tidur.

Katanya lagi, sungguhpun jika kompaun dikurangkan menjadi RM10,000, jumlah tersebut masih terlalu mahal baginya dan dia lebih rela dipenjara.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ini adalah kali pertama saya dikompaun tetapi sudah dikenakan RM50,000. Saya bekerja sebagai mekanik selain membantu isteri saya menjual mi pada hari-hari biasa," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata bahawa polis akan memanggil tiga peniaga gerai termasuk peniaga colek, untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain