suria

Pelajar IPT dibenarkan pulang ke kampung sempena Aidilfitri, pergerakan secara berfasa bermula 7 Mei

Pelajar IPT dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula 7 Mei secara berfasa. Gambar hiasan

PELAJAR institusi pendidikan tinggi (IPT) dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aildilfitri tidak lama lagi, kecuali negeri Sarawak.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Sehubungan itu, KPT telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan di mana pergerakan pelajar akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar terkawal.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam kategori pelajar berkeperluan dibenar kembali ke kampus bermula 1 Mac

"Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing ialah pada 7 – 12 Mei, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah pada 15 – 20 Mei 2021.

"Pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri/daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar," demikian menurut kenyataan itu.

Tambahnya, pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga; atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT.

"Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan," katanya.

Bagaimanapun KPT dalam masa yang sama turut memberi pilihan kepada pelajar sama ada ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan ini.

"Pergerakan pelajar sempena Aidilfitri ini dianggarkan melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar.

"Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Para pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my," ujarnya.

Para pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain