suria

Covid-19: Semua sekolah dalam zon merah di Sarawak ditutup 2 minggu mulai esok

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

SEMUA sekolah yang terletak di zon merah Covid-19 di Sarawak akan ditutup selama dua minggu bermula Selasa (20 April), kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mendapati berlakunya banyak jangkitan kes Covid-19 di kawasan sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 400 pelajar positif Covid-19, sekolah di Miri diarah tutup 14 hari

"Kita mendapati terdapat penularan baharu di sekolah dan ia boleh mengakibatkan pelajar menyebarkan virus ini kepada ibu-bapa dan sebaliknya. Ada pula guru yang menjangkiti warga sekolah yang lain.

"Oleh itu, kerajaan negeri telah memutuskan untuk menutup semua sekolah di zon merah selama 14 hari," katanya dalam sidang media penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, pada Isnin.

Pada Ahad, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mengesyorkan penutupan sekolah di daerah Miri, Subis dan Beluru kerana 13 peratus daripada keseluruhan 3,253 kes positif Covid-19 terdiri daripada pelajar sekolah.

Sehingga Ahad, 18 dari 40 daerah di Sarawak dikategorikan sebagai zon merah, atau kawasan dengan lebih daripada 40 kes penularan tempatan dalam tempoh 14 hari baru-baru ini.

Daerah-daerah tersebut adalah Belaga, Kanowit, Selangau, Saratok, Subis, Matu, Mukah, Sarikei, Beluru, Samarahan, Serian, Julau, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu.

Abang Johari juga menambah, polis dan agensi penguatkuasaan lain diarahkan untuk mengetatkan kawalan perjalanan rentas daerah mulai Isnin.

Ujarnya, perjalanan rentas daerah adalah penyumbang utama penyebaran Covid-19 di Sarawak.

"Oleh itu, mulai hari ini, hanya perkhidmatan penting yang dibenarkan merentas dengan kebenaran polis," katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata operasi perniagaan di zon merah hanya dibenarkan sehingga pukul 10 malam.

Ujarnya, langkah itu sejajar dengan keputusan JPBN untuk mengekalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak yang dalam masa sama melaksanakan PKPD di kawasan yang disasarkan.

"Sekiranya kita mengenakan PKP, ia akan mempengaruhi ekonomi dan kehidupan rakyat. Oleh itu, kita melaksanakan PKPD di kawasan yang mencatatkan kes yang tinggi.

"Akhir-akhir ini kes melonjak di daerah-daerah tertentu seperti depoh imigresen Semuja dan pusat latihan polis, jadi kita ingin mengawalnya.

"Tetapi kita buka sektor ekonomi agar rakyat tidak kehilangan pekerjaan," katanya. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain