suria

Lebih 400 pelajar positif Covid-19, sekolah di Miri diarah tutup 14 hari

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab untuk JPBB Miri. Foto: Zulazhar Sheblee/The Star - ZULAZHAR SHEBLEE/ THE STAR

LEBIH daripada 400 pelajar di Miri, Sarawak dijangkiti Covid-19 dan perkembangan tersebut mendorong kepada penutupan semua sekolah di daerah itu selama 14 hari mulai esok (Isnin) bagi mengekang penularan virus tersebut.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, jumlah itu mewakili 13 peratus daripada keseluruhan 3,253 kes positif yang direkodkan di daerah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Masih lepasi angka 2,000! Sarawak rekod kes harian tertinggi, jangkitan baharu 2,195

"Oleh kerana kemudahan perubatan di Hospital Miri, dan pusat kuarantin dan rawatan hampir mencapai kapasiti penuh, jawatankuasa memutuskan bahawa sekolah di Miri perlu ditutup sementara untuk pembelajaran secara bersemuka selama 14 hari.

"Sepanjang tempoh penutupan sekolah ini, sesi pembelajaran diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Situasi akan dikaji semula selepas 14 hari," demikian menurut Menteri yang bertanggungjawab terhadap JPBB, Datuk Lee Kim Shin dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Kim Shin juga berkata jawatankuasa tersebut turut mengesyorkan penutupan sementara sekolah di daerah Subis dan Beluru, yang juga dikategorikan sebagai zon merah dengan jumlah kes positif yang tinggi.

Katanya, cadangan jawatankuasa itu telah disampaikan kepada Jabatan Pendidikan dan jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

"Saya harap pengarah pendidikan negeri dapat mempertimbangkan dan bersetuju dengan permintaan tersebut kerana Miri adalah zon merah dan jumlah kes yang meningkat baru-baru ini melibatkan pelajar dan guru," tambahnya.

Terdapat 67 kes baru yang dilaporkan di Miri pada Ahad (18 April), sementara itu Subis merekodkan 17 kes manakala Beluru pula tiga kes. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain