suria

Sekatan rentas daerah, negeri mungkin dilanjutkan hingga 70 peratus rakyat diberi vaksin - Dr Noor Hisham

Polis mengadakan sekatan jalan raya untuk menguatkuasakan SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang pergerakan rentas daerah dan negeri.

SEKATAN pergerakan rentas negeri dan daerah berkemungkinan akan dilanjutkan sehingga sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat telah diberi suntikan vaksin Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, situasi berkenaan dipertimbangkan ekoran apa yang berlaku sebelum ini selepas kerajaan membenarkan kembali pergerakan rentas daerah pada 7 Disember tahun lalu yang menyaksikan peningkatan kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Rentas negeri, daerah dibenarkan bermula 7 Disember kecuali kawasan PKPD - Ismail Sabri

"Kita lihat pada 7 Disember ketika kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri. Jangkitan itu merebak ke negeri lain.

"Mereka yang datang dari zon merah melakukan perjalanan ke zon hijau, seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan.

"Sepanjang tempoh itu, kita akan berpegang pada dua pendekatan untuk mengendalikan pandemik ini, iaitu melalui langkah-langkah kesihatan awam dan program vaksinasi.

"Setelah mencapai 70 peratus rakyat divaksinasi, kita mungkin mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran pergerakan rentas," katanya pada sesi libat urus Darurat Covid-19 bersama media secara dalam talian pada Jumaat.

Dr Noor Hisham dalam pada itu berkata Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan negara lain mengenai penggunaan 'pasport imuniti'.

"Kita sudah ada perbincangan berhubung pasport imuniti sama ada kita boleh merentas negeri, negara dan sebagainya tetapi ini memerlukan data dari negara lain juga.

"Namun perkara ini masih dalam penelitian kerana kita memerlukan lebih banyak data. Mungkin dalam tempoh enam hingga sembilan bulan ini, kita boleh mendapatkan data terbabit.

"Jika negara kita dan negara lain sudah mencapai imuniti kelompok, mungkin kita akan pertimbangkan (perjalanan rentas negara)," kata Dr Noor Hisham. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain