suria

Rakyat disaran patuh tarikh temu janji suntikan vaksin, bakal berdepan tindakan jika gagal hadir

Kegagalan menghadiri temu janji tanpa alasan kukuh boleh menyebabkan pembaziran vaksin. Gambar hiasan

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berharap semua rakyat boleh mematuhi tarikh temu janji pemberian suntikan vaksin Covid-19 yang telah ditetapkan.

Tegas Dr Noor Hisham, individu yang gagal menghadiri temu janji tanpa sebarang alasan kukuh bakal berdepan dengan tindakan.

Ini kerana kata beliau, kegagalan mematuhi tarikh temu janji tersebut boleh menyebabkan pembaziran vaksin berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19... Siapa berisiko, kesan dan teori konspirasi antara 10 perkara yang anda perlu tahu

"Setiap vaksin Covid-19 yang telah dicairkan perlu digunakan dalam tempoh enam jam.

"Sebenarnya tindakan boleh diambil seperti negara lain, contohnya kalau mereka 'cut queue' untuk vaksin akan dikenakan denda dan sebagainya," katanya pada sesi libat urus Darurat Covid-19 bersama media secara dalam talian pada Jumaat.

Turut hadir dalam sesi libat urus itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong; Timbalan Pengarah Cawangan Pengurusan Farmasi Logistik Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Norhuda Mohd Tajuddin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit, Dr A Maheshwara Rao.

Program siri keempat itu dihoskan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertimbangkan untuk memberikan dos vaksin individu yang gagal hadir temu janji kepada individu lain.

"Ini mengelakkan pembaziran berlaku. Mungkin kita akan berikan kepada petugas kesihatan atau individu lain yang dalam senarai menunggu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, individu yang mempunyai sebarang gejala selepas menerima vaksin Covid-19 perlu melaporkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di laman sesawang www.npra.gov.my dan aplikasi MySejahtera.

"Vaksin ini adalah selamat dan selepas 48 jam disuntik Comirnaty, saya juga tidak mengalami sebarang gejala," katanya.

Sementara itu, Dr Maheshwara ketika pembentangan Modul Vaksinisasi MySejahtera berkata, individu akan menerima notifikasi daripada MySejahtera pada tujuh hari sebelum tarikh suntikan.

Individu berkenaan sekali lagi akan menerima notifikasi pada tiga hari sebelum tarikh suntikan vaksin, katanya.

"Di sini pengguna MySejahtera boleh memastikan boleh hadir pada tarikh yang telah ditetapkan. Jika tidak boleh hadir pada tarikh itu, mereka boleh penjadualan semula temu janji," katanya.

Sijil digital berwarna putih akan diberikan kepada individu yang telah mengambil dos pertama.

"Mereka yang telah melengkapkan kedua-dua dos akan diberikan sijil digital berwarna kuning selaras dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain